suria

Jihan Muse terkehel tulang pinggang, kerja 'non stop'

Jihan menjalani MRI selepas mengalami kecederaan pada tulang pinggang hingga mengganggu urusan hariannya.

PENGACARA dan pelawak Jihan Muse memberitahu dia mengalami kecederaan pada tulang pinggang hingga mengganggu urusan hariannya.

Akibat daripada itu, Jihan mengambil keputusan melakukan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) di sebuah hospital di Kuala Lumpur Selasa lalu.

Jihan atau nama sebenarnya Nur Jihan Musa berkata, sakit pinggang yang dialaminya itu menjejaskan pergerakan selain turut menyebabkan dia sukar tidur malam.

"Sebenarnya rasa sakit tu dah lama ingatkan sebab bersalin. Saya nak duduk sakit, baring pun sakit.

"Cuma kebelakangan ni rasa sakit itu terlampau dan saya tak tahan kerana ia mengganggu tidur saya.

Jihan memuat naik foto dia menjalani MRI di laman sosialnya.

"Itulah puncanya saya ke hospital dan buat ujian MRI," katanya kepada mStar Online.

Jihan berkata demikian ketika ditemui pada majlis peragaan baju raya Starvilion 2019 di Royale Palace, Shah Alam pada Khamis.

Berkongsi lanjut mengenai masalah kesihatan itu, Jihan memaklumkan dia mengalami terkehel pada tulang pinggang dan terpaksa menjalani beberapa rawatan fisioterapi.

"Sebenarnya saya hanya terkehel pada tulang pinggang. Rasa lega apabila doktor maklumkan ia bukan slipped disc.

"Saya tak pernah terjatuh sebelum ni, jadi doktor kata ia mungkin disebabkan kerja lasak. Untuk tempoh beberapa hari ni doktor menasihati saya untuk tak banyak bergerak dan saya perlu berehat.

Jihan mengalami sakit pinggang sejak melahirkan anak sulungnya pada Februari tahun lalu.

"Buat masa ini saya perlu menjalani rawatan fisioterapi tapi doktor belum beri jadual lagi," ujarnya.

Dalam pada itu Jihan berkata, dia terpaksa menangguh beberapa rakaman dengan pihak produksi dan sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak terbabit sehingga pulih sepenuhnya.

"Saya pun bukan jenis menjaga badan. Tiada ambil jamu-jamu, jadi bila dah kena macam ni, saya nak kena jaga badan semula.

"Saya takut juga kalau ada pihak-pihak yang fikir saya sengaja tak datang kerja," katanya.

Jihan sebelum ini memuat naik sebuah posting di Instagram miliknya memaklumkan dia menjalani ujian MRI.

Jihan Muse

Artikel Lain