“Mesej itu sepatutnya antara saya dan Fazura” - Hans Isaac sedia minta maaf kalau betul-betul salah - Sensasi | mStar

“Mesej itu sepatutnya antara saya dan Fazura” - Hans Isaac sedia minta maaf kalau betul-betul salah

Hans terkejut mesej peribadi yang dihantar kepada Fazura bocor kepada umum. Foto NORAFIFI EHSAN

PELAKON dan penerbit Datuk Hans Isaac terkejut apabila mesej yang dihantar secara peribadi kepada pelakon Fazura diketahui umum.

Menurut Hans, 48, dia akan memohon maaf kepada Fazura jika kehadiran Fattah sebagai penyampai anugerah di Festival Filem Malaysia 30 (FFM30) bukan atas pemintaan peribadi.

"Terkejut juga bila dapat tahu mesej yang sepatutnya antara saya dan Fazura boleh diketahui umum. Sedangkan ia adalah mesej peribadi.

"Saya akui memang ada meluahkan rasa kecewa tu tapi kalau betul kemunculan Fattah sebagai penyampai anugerah tu tak ada kena mengena, dia boleh jelaskan kepada saya, bukan dengan mengeluarkan kenyataan kepada media.

"Saya akan minta maaf kepada dia kalau betul-betul salah, tapi itulah seperti yang saya katakan sepatutnya ia antara saya dan Fazura bukan untuk pengetahuan umum," kata Hans kepada mStar Online.


Fazura menjelaskan dia dan Fattah menerima jemputan sebagai penyampai anugerah. Foto Instagram: @aqoimran.

Hans diminta mengulas mengenai kenyataan Fazura meminta dia membuat permohonan maaf atas tuduhan mendakwa gandingan aktres itu bersama suami sebagai penyampai anugerah merupakan pemintaan peribadi.

Menerusi artikel di sebuah portal hiburan, Fazura menjelaskan dia tidak pernah meletakkan syarat untuk menjadi penyampai anugerah dengan bergandingan bersama Fattah seperti yang didakwa sebuah blog.

Pelakon filem J Revolusi itu turut mendedahkan dia ada menerima mesej daripada Hans yang berasa kecewa atas apa yang berlaku.

Dalam pada itu, Hans menjelaskan pelakon Maya Karin yang menjadi panyampai anugerah bersama turut terkejut dengan kehadiran mengejut Fattah Amin pada slot penyampaian anugerah tersebut.

Hans menyampaikan Anugerah Khas Juri di FFM30. Foto Instagram: @hansisaac.

Kata Hans, mereka juga tidak diberitahu oleh pihak produksi atau pihak penganjur acara itu mengenai kehadiran Fattah sebagai penyampai anugerah.

"Bukan saya seorang sahaja yang terkejut tiba-tiba Fattah ada sekali atas pentas untuk jadi penyampai anugerah, tapi Maya pun sama juga.

"Sebab kalau nak ikutkan hanya saya, Maya dan Fazura. Setahu saya juga hanya pemenang anugerah sahaja yang boleh boleh menjadi penyampai anugerah.

FFM30 yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu diadakan di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada Sabtu lalu.

Datuk Hans Isaac , Fazura , Fattah Amin

Artikel Lain