Ain Edruce tak sabar nak kahwin, sasar 20 cahaya mata! - Hiburan | mStar

Ain Edruce tak sabar nak kahwin, sasar 20 cahaya mata!

Ain menyatakan kesediaannya untuk berkahwin dengan kekasih hatinya, Amirul Hafiz.

PELAKON dan pengacara Ain Edruce memberitahu dia tidak mahu berkawan terlalu lama dan sudah bersedia untuk berkahwin dengan kekasih hatinya, Amirul Hafiz.

Menurut Ain, usianya yang kini menjangkau 28 tahun merupakan masa terbaik untuk mendirikan rumah tangga.

ARTIKEL BERKAITAN: Ain Edruce sudah dirisik, rancang kahwin tarikh menarik 20.02.2020!

ARTIKEL BERKAITAN: Kerabat diraja itu ada minta nombor telefon Ain Edruce

"Kami pun tak mahu berkawan lama-lama... lagi pun saya sudah 28 tahun, ianya masa yang ideal untuk berkahwin.

"Saya nak anak 20 orang jadi masa itu sudah cantik," katanya kepada mStar.

Ain ditemui ketika malam kemuncak Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME 2019) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum ini, Ain berkongsi foto dirisik Amirul Hafiz pada 18 April lalu.

Bercerita lanjut Ain berkata, dia sebenarnya sudah mengenali kekasih hatinya itu sejak setahun lalu.

Ain dirisik kekasihnya, Amirul Hafiz pada Khamis lalu.

Bagaimanapun dia memilih untuk tidak berkongsi foto teman lelaki di laman Instagram kerana bimbang hubungan tidak kesampaian.

"Ramai juga rakan-rakan yang terkejut bila saya merisik tempoh hari.

"Kami sebenarnya sudah berkenalan hampir satu tahun... bukan tak mahu berkongsi bersama peminat cuma saya enggan kecoh mengenai hubungan kami.

"Tapi saya ada sahaja berkongsi mengenai Amirul di laman Youtube saya dan peminat suka lihat keserasian antara kami dan mereka tak sabar tunggu kami berkahwin," katanya.

Ketika disoal sekiranya 'saham jatuh' selepas dirisik, Ain sebaliknya memberitahu rezekinya semakin mencurah-curah kebelakangan ini.

"Mungkin sesetengah fikir bila kita sudah berpunya, 'market' tu akan jatuh. Tapi bagi saya pula, saya anggap itu sebagai rezeki.

"Sejujurnya, sebaik sahaja saya merancang untuk merisik, Alhamdulillah rezeki saya banyak yang masuk.

"Saya rasa tak sabar nak kawin!" katanya yang serasi ketika bersama Amirul.

Ain memberitahu sudah setahun mengenali Amirul dan mereka serasi bersama.

Sementara itu, menjawab mengenai dakwaan netizen yang mempersoalkan wajah kekasihnya tidak kacak, Ain punya jawapan tersendiri.

"Saya tak boleh nak cakap apa-apa kalau orang rasa Amirul tidak kacak, itu pendapat mereka.

"Tapi untuk saya mencari lelaki-lelaki yang handsome ni, ianya terlalu fizikal untuk saya. Saya tak pernah percaya lelaki seperti itu.

"Saya memang jenis akan kenal hati dahulu kemudian baru yang lain. Sebab saya nak cari orang yang bertanggungjawab, bukan yang handsome. Muka sahaja tak bawa kemana-mana," ujarnya.

Ain Edruce , Amirul Hafiz