suria

Rezeki Berganda, Sufian Suhaimi Dapat Tawaran Sambung PhD

Sufian Suhaimi mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajiannya ke peringkat tertinggi iaitu Doktor Falsafah (PhD). Foto ART CHEN

DI SEBALIK beberapa kontroversi melanda Sufian Suhaimi berhubung isu putus tunang dengan aktres Elfira Loy baru-baru ini, penyanyi lagu Di Matamu itu mendapat beberapa tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajiannya ke peringkat tertinggi iaitu doktor falsafah (PhD).

Sufian, 26, memberitahu beberapa universiti awam dan swasta menawarkannya untuk melanjutkan pengajian sejurus dia menyelesaikan Ijazah Sarjananya dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Februari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kesedihan Sufian Diganti Dengan Lebih 2 Juta Tontonan

"Alhamdulillah ada beberapa universiti menawarkan saya untuk lanjutkan pelajaran ke peringkat PhD walaupun saya baru sahaja menamatkan pengajian di peringat Ijazah Sarjana.

"Ada beberapa tawaran menarik diberikan termasuk biasiswa penuh dalam bidang komunikasi dan pengurusan.

"Saya menganggap ini sebagai rezeki kerana bukan mudah untuk mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke PhD," katanya kepada mStar Online.

Sufian ingin memberi fokus kepada karier seninya yang semakin berkembang.

Bagaimanapun kata Sufian, buat masa ini dia terpaksa melupakan terlebih dahulu hasrat untuk menyambung pengajiannya kerana ingin memberi fokus kepada karier seni terlebih dahulu.

Kata Sufian, jadualnya kini padat dengan pelbagai aktiviti seni dan bimbang sekiranya dia tidak dapat membahagikan masa dengan baik.

"PhD bukannya mudah dan saya perlu betul-betul memberi komitmen kepada pelajaran sekiranya saya terima tawaran diberikan.

"Berat juga hati melepaskan peluang diberikan tetapi saya mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada karier nyanyian terlebih dahulu.

"Tambahan pula sekarang banyak perancangan yang telah disusun dan jadual sangat padat buat masa sekarang," katanya.

Kata Sufian lagi, suatu hari nanti dia akan tetap menyambung pengajiannya apabila tiba masa sesuai.

Hubungan Sufian dan Elfira kini tinggal kenangan.

Untuk rekod, Sufian juga adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Bercakap mengenai kejayaan Di Matamu yang mendapat 4 juta tontonan sehingga Selasa sejak ia dilancarkan pada 23 Mac lalu, Sufian berkata, ia pencapaian dan kenangan manis dalam kariernya.

"Asalnya saya mahu melancarkan muzik video ini pada April nanti tetapi saya tetap memilih 23 Mac kerana ingin menjadikan tarikh itu sebagai sesuatu yang indah untuk dikenang.

"Alhamdulillah tak sangka dapat sambutan luar biasa peminat dan semua ini tidak akan terjadi tanpa sokongan anda semua malah reaksi yang diberikan juga sangat positif," katanya.

Sepatutnya tarikh tersebut adalah hari pernikahan Sufian dan Elfira namun pertunangan pasangan tersebut putus pada 18 Februari lalu.

Mereka mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober tahun lalu.

Sufian Suhaimi, Di Matamu

Artikel Lain