suria

Bapa Irma Hasmie Meninggal Dunia Akibat Kanser Kelenjar

PETALING JAYA: Bapa kepada pelakon Irma Hasmie iaitu Ibrahim Othman meninggal dunia pada usia 63 tahun akibat kanser limfoma atau kelenjar kira-kira pukul 5.23 pagi Jumaat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Irma, 34, berkata, penyakit tersebut dikesan sejak Januari lalu dan merebak dengan cepat sehingga memerlukan Allahyarham bapanya melakukan sesi kemoterapi setiap minggu.

"Ayah saya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pagi tadi selepas kesihatannya merosot selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Pada mulanya ayah dirawat di Hospital Ampang dan kemudian dipindahkan ke HKL pada 12 Julai lalu kerana tahap kesihatan yang semakin merosot," ujarnya kepada mStar Online.

Irma berkata, jenazah akan dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Bukit Cerakah, Shah Alam, dekat sini.

Sementara itu, dia reda dan bersedia dengan pemergian tersebut selepas melihat penderitaan bapanya sejak Januari lalu.

"Kami sekeluarga sudah reda kerana dia sakit sejak Januari lalu dan kami sudah bersedia untuk menerima segala kemungkinan.

"Penyakitnya menjadi lebih teruk dan merebak dengan pantas sehingga memberi kesan kepada anggota badan lain. Alhamdulillah dia pergi pada hari Jumaat yang barakah," ujarnya.

Selain itu, Irma berkata, dia mendapat banyak nasihat daripada arwah ayahnya sejak mengetahui tentang penyakitnya itu.

"Kami sekeluarga sentiasa ada perjumpaan sekali seminggu dan sejak akhir-akhir ini memang dia sudah banyak memberi nasihat kepada kami adik beradik," ujarnya.

Irma Hasmie

Artikel Lain