suria

Kering Idea Punca Teater Nyonya Dipentaskan Buat Kali Ke-7

Rohayah (nombor dua atas dari kanan) bersama Datuk Seri Rohani (tengah), Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani serta barisan pelakon Diari Wanita...Episod Kak Ani & Nyonya yang terlibat. Foto AFIFI EHSAN

KUALA LUMPUR: Penerbit teater Siti Rohayah Attan menyifatkan kekeringan idea bagi mendapatkan naskhah skrip yang bagus ketika ini membuatkan dia terpaksa mengulangi pementasan teater Nyonya buat kali ketujuh pada Februari depan.

Rohayah bagaimanapun berkata, karya itu masih lagi mendapat perhatian penonton meskipun ia diulang pementasannya dan untuk kali ini pementasan Nyonya akan digabungkan dengan kisah hidup Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menerusi judul Diari Wanita...Episod Kak Ani & Nyonya.

"Sehingga kini saya masih belum mendapat sebarang skrip yang boleh menggantikan kehebatan naskhah Nyonya karya asal penulis Indonesia iaitu Wisran Hadi yang mempunyai mesej tetapi disampaikan dengan cara santai.

"Sebab itu saya mengulang semula naskhah ini. Tidak usah risau kerana konsep penyampaiannya berbeza dengan pementasan sebelum ini dimana kisah Nyonya akan disilihgantikan dengan kisah Datuk Seri Rohani (yang dipanggil Kak Ani)," katanya kepada mStar Online.

Rohayah ditemui pada sidang media teater Diari Wanita...Episod Kak Ani & Nyonya di Istana Budaya pada Isnin.

Amy Mastura dan Sherry Alhadad

Teater Nyonya mula dipentaskan pada 2004 di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC) dan Taman Seni Budaya Seremban, Negeri Sembilan, diikuti pada 2007 (Taman Budaya Pumpong Alor Setar, Kedah, 2008 (Istana Budaya), 2011 (MATIC) dan 2013 (Istana Budaya).

Sementara itu, Rohayah berkata, penonton yang hadir tidak perlu keliru dengan pementasan Diari Wanita...Episod Kak Ani & Nyonya memandangkan perubahan segmen penceritaan akan dijelaskan dalam dialog.

Dalam pada itu, Rohani yang turut hadir pada sidang media itu berkata, dia berharap, kisah hidupnya yang pernah susah sebelum ini dapat menjadi pengajaran dan panduan kepada masyarakat.

"Menerusi naskhah ini, saya ingin berkongsi pengalaman hidup susah senang dan pada masa sama menyampaikan mesej perjuangan saya sejak kecil sehinggalah kini.

"Saya mahu memberi semangat kepada semua orang terutamanya bagi golongan yang berada dalam kesusahan bahawa tiada halangan untuk berjaya," ujarnya.

Diari Wanita...Episod Kak Ani & Nyonya dibahagikan kepada dua segmen iaitu Kak Ani, yang merupakan anak kepada tukang cuci baju (ibu) dan tukang masak (ayah) hidup kesusahan ketika di awal zaman kemerdekaan negara.

Walaupun susah, semangat Kak Ani untuk belajar dan menjejakkan kaki ke universiti begitu tinggi. Selain itu banyak kisah menarik lain yang dipaparkan dalam teater berbentuk monolog itu.

Segmen Nyonya pula menceritakan tentang seorang wanita kaya yang dipanggil Nyonya tidak senang dengan pedagang barang antik bernama Tuan, yang mempunyai pelbagai muslihat. Tuan cuba mendekati Nyonya meskipun dia tahu suami wanita itu sedang terlantar sakit di rumah.

Pada masa sama, rumah Nyonya sering didatangi tiga keponakan (anak saudara) kepada suaminya untuk menuntut harta.

Antara barisan pelakon yang terlibat ialah Liza Othman dan Dayang Kartini sebagai Kak Ani, Sherry Alhadad (Nyonya), Misha Omar dan Zehra (Keponakan Cantik). Amy Mastura (Keponakan Anggun), Juhara Ayob (Keponakan Beautiful), Nad Zainal (Isteri) dan Shahrul Mizad (Tuan). 

Teater Diari Wanita...Episod Kak Ani & Nyonya terbitan CTRA Production bakal dipentaskan bermula 11 hingga 16 Februari 2015.

Tiket berharga RM35, RM55, RM85 dan RM155 boleh ditempah menerusi ejen tiket www.AirAsiaRedTix.com atau hubungi 017-8716060 dan 012-2977220 untuk keterangan lanjut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain