suria

Siti Nurhaliza Harap Kejayaan AIM21 Bantu Promosi Fragmen Di Indonesia

Siti Nurhaliza berharap agar dapat mempromosi dan mengekalkan momentum penjualan album Fragmen di Indonesia. Foto BRIAN MOH

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza berharap kemenangan Fragmen dalam kategori Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik 21 (AIM21) akan membuka ruang lebih luas kepada album itu di Indonesia.

Siti, 35, berkata, kemenangan itu juga diharap dapat mempromosi dan mengekalkan momentum penjualan album tersebut di negara berkenaan.

"Alhamdulillah sambutan di Indonesia sangat baik namun diharapkan dengan kemenangan ini dapat mengekalkan momentum tersebut.

"Malah beberapa bulan lalu saya sempat ke sana untuk mempromosikan album dan single duet bersama Cakra Khan," katanya kepada mStar Online.

AIM21 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada malam Sabtu lalu turut menyaksikan Siti menerima trofi Vokal Terbaik Wanita menerusi lagu Lebih Indah dan Rakaman Album Terbaik melalui Konsert Lentera Timur Bersama Orkestra Tradisional Malaysia.

Selain itu penyanyi rap, SonaOne membawa pulang tiga trofi iaitu Lagu Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi No More manakala kolaborasinya bersama Joe Flizzow diumumkan sebagai Lagu Hip Hop Terbaik.


Dalam pada itu Siti berkata, sebagai strategi pemasaran, pihak Universal Music turut memasukkan lagu duet bersama Cakra berjudul Seluruh Cinta dalam album Fragmen untuk pasaran negara tersebut.

Jelas Siti, biarpun lagu berkenaan tidak dimasukkan untuk pasaran Malaysia namun ia dilancarkan sebagai single menerusi iTunes.

"Pihak Universal ada strategi tersendiri namun peminat di Malayia masih boleh mendapatkan lagu berkenaan menerusi iTunes," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai kemenangannya pada malam itu, Siti berkata, ia adalah kejayaan bersama syarikat rakaman Universal Music dan berharap ia akan berterusan selepas ini.

Malah kata Siti, dia berharap dapat menghasilkan karya lebih baik pada masa hadapan dengan mengekalkan identiti vokalnya.

"Kepercayaan diberikan pihak Universal Music menampakkan hasil positif atas kerjasama bersama dan biarpun mengambil masa agak lama untuk dilancarkan ia membuahkan hasil positif," katanya.

Siti Nurhaliza

Artikel Lain