suria

Penantian 14 Tahun Alyah Akhirnya Terbayar

Alyah berharap kemenangannya pada AIM21 dapat memberi semangat kepada artis baharu yang masih mencari ruang dalam bidang nyanyian.

KUALA LUMPUR: Penantian selama 14 tahun penyanyi Datin Alyah akhirnya terbayar apabila lagunya Sesal Separuh Nyawa merangkul trofi kategori Lagu Pop Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 21 (AIM21) yang berlangsung pada malam Sabtu lalu.

Alyah atau nama sebenarnya Norhasliah Abu Hassan, 33, berkata, dia berasa teruja dengan kemenangan tersebut kerana segala usahanya sepanjang bergelar penyanyi akhirnya mendapat pengiktirafan.

"Alhamdulillah sikap saya yang sukar mengenal erti putus asa akhirnya membuahkan hasil sehingga mendapat pengiktirafan ini.

"Biarpun terpaksa menunggu lama namun semuanya berbaloi dan diberi kesempatan untuk merasai kejayaan ini," katanya kepada mStar Online.

AIM21 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) turut menyaksikan penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza menerima trofi album terbaik, Vokal Terbaik Wanita menerusi lagu Lebih Indah dan Rakaman Album Terbaik melalui Konsert Lentera Timur Bersama Orkestra Tradisional Malaysia.

Alyah bersama penulis lirik Sesal Separuh Nyawa iaitu Shah Samsiri (kiri) dan komposer, Alfie.
Selain itu penyanyi rap, SonaOne membawa pulang tiga trofi iaitu Lagu Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi No More manakala kolaborasinya bersama Joe Flizzow diumumkan sebagai Lagu Hip Hop Terbaik.

Dalam pada itu, Alyah berkata, dia berharap kemenangannya pada AIM21 dapat memberi semangat kepada artis baharu yang masih mencari ruang dalam bidang nyanyian.

"Saya tidak mendapat jalan mudah untuk berjaya dalam bidang muzik dan kemenangan ini harap dapat memberi semangat kepada artis baharu untuk tidak mudah berputus apa dalam merialisasikan impian mereka," jelasnya.

Sementara itu, Alyah berkata, kemenangan itu tidak memberikan tekanan kepadanya apabila menyedari peminat mengharapkan produk lebih baik pada masa hadapan.

Sebaliknya Alyah berkata, ia membuatkannya lebih semangat untuk terus berkarya demi membuktikan dia serius terhadap cintanya pada bidang nyanyian.

"Insya-Allah saya akan melancarkan album baharu pada Januari depan dan biarpun ia mengambil masa tujuh tahun untuk berbuat demikian tetapi saya puas kerana ia hasil titik peluh saya sendiri," katanya.
Alyah

Artikel Lain