suria

Remy Ishak Selesa Berkawan Dengan Budi Citawan

Remy Ishak
Remy Ishak

PETALING JAYA: Pelakon Remy Ishak menjelaskan dia selesa berkawan dengan anak kepada pelakon Wan Hanafi Su iaitu Budi Citawan yang dikenalinya sejak setahun yang lalu.

Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 32, berkata, bagaimanapun hubungan tersebut hanya sekadar kawan biasa sahaja dan tidak lebih daripada itu.

"Saya dengan Budi hanya berkawan sahaja, saya kurang kawan wanita menyebabkan persahabatan kami menjadi sensasi.

"Keselesaan saya itu disebabkan kami mempunyai minat serupa iaitu keupayaan untuk bercakap tentang seni," katanya kepada mStar Online pada sidang media drama Jiwa, di Sri Pentas, di sini, Khamis.

Remy berkata demikian ketika diminta mengulas gosip hubungan cintanya dengan wanita yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dalam pada itu, Remy mengakui pernah bertemu dengan keluarga wanita itu bagi meminta kebenaran keluar bersama.

"Saya pernah jumpa ibunya untuk bawa dia keluar, malah pernah juga makan malam bersama.

"Namun itu perkara biasa kerana kawan perempuan yang lain juga saya akan beritahu keluarga mereka kalau saya ingin membawa mereka keluar," katanya.

Sementara itu, Remy berkata, dia kini lebih bersedia untuk berhadapan dengan gosip yang berkaitan hal peribadi berbanding dahulu.

Dia juga lebih matang untuk berhadapan dengan persepsi masyarakat yang sentiasa ingin mengetahui tentang kehidupan di luar televisyen.

"Saya tahu perkara ini akan menjadi besar kerana saya seorang artis dan peminat ingin tahu dengan siapa saya berkawan.

"Saya kini lebih berterus terang. Jika ia perkara betul, saya akan mengaku dan jika belum lagi bercinta, saya akan cakap yang benar.

"Kalau dahulu saya susah nak faham dan sentiasa rasa nak marah bila timbul berita tidak betul," katanya.

Tambah Remy, dia memahami harga yang perlu dibayar untuk menjadi seorang selebriti.

Dalam pada itu, Remy yang akan muncul dengan drama Jiwa ini memberitahu, bagi menjayakan karya berkenaan dia perlu berada dalam keadaan sihat dan menjaga berat badan.

"Drama ini sangat berat dan mengganggu emosi saya, selama dua bulan saya terpaksa menjaga berat badan dan mengamalkan diet," katanya.

Drama ini turut membariskan pelakon popular seperti Faizal Hussein, Kamal Adli dan Siti Elizad.

Ia akan disiarkan bermula 5 Februari depan di slot Aksi pada setiap Rabu pukul 9 malam di TV3.

Artikel Berikut

Artikel Lain