suria

David Teo Minta Wawa Zainal Tidak 'Lari'

David Teo
David Teo

PETALING JAYA: Penerbit filem David Teo akan memanggil pelakon Wawa Zainal, 23, bagi menyelesaikan isu berhubung hal pengurusan artis wanita itu.

David berkata, pelakon tersebut masih berada dalam kontrak di bawah pengurusan Metrowealth International Group (MIG) yang akan berakhir pada 2015.

"Kami akan panggil Wawa dalam masa terdekat ini bagi menyelesaikan beberapa perkara terutamanya berkaitan isu pengurusannya.

"Sebelum ini kami beri dia berehat sehingga anaknya besar, namun jika dia sudah mula bekerja, dia masih di bawah tanggungjawab kami sehingga tamat kontrak," ujarnya ketika dihubungi mStar online, di sini, Rabu.

David berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan pelakon Aeril Zafril yang akan mengendalikan aktiviti seni isterinya itu.

Dalam laporan mStar Online pada 8 Januari lalu, Aeril berkata, Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin sudah pun menerima beberapa tawaran berlakon namun semua projek tersebut adalah di bawah pengurusan artis milik Aeril sendiri.

Dalam pada itu, David berharap pelakon tersebut tidak terus melarikan diri dan menyelesaikan masalah ini dengan segera.

"Kita panggil dia secara lisan sudah lama tetapi dia tidak pernah datang, tapi kali ini kita akan keluarkan surat 'hitam-putih' kerana jika dia berada di bawah pengurusan lain ia merupakan satu kesalahan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain