suria

Izara Aishah Raih Populariti Selepas Lapan Kali Berlakon

Izara Aishah
Izara Aishah
Izara Aishah

PETALING JAYA: Pelakon kacukan Melayu-Pakistan, Izara Aishah menaruh keyakinan dapat meraih populariti dalam dunia hiburan selepas mendapat kepercayaan syarikat produksi yang memberikannya lapan kali peluang berlakon drama.

Izara, 20, berkata, sejak awal pembabitannya dalam bidang lakonan dia memang berharap untuk cepat dikenali dan bersyukur dengan kepercayaan pengarah terhadapnya.

"Jika diikutkan saya masih baru dalam bidang lakonan tetapi segala usaha saya nampak berbaloi apabila diberi kepercayaan oleh pengarah untuk memegang watak utama.

"Namun itu bukan alasan untuk saya terus hanyut dengan populariti kerana masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam menjadikan saya seorang pelakon yang disegani," ujarnya kepada mStar Online.

Antara drama lakonan Izara yang berjaya menambat hati penonton adalah Kasih Najiha, Soffiya, Keranamu Laila, Masih Membara Cintaku, Selumbar Kasih, Jejaka J, Cikaro, Pusing Beraya, Vanila Coklat dan terkini drama bersiri Nazihah di TV3.

Dalam pada itu, pemenang tempat kedua pertandingan Dewi Remaja 2009/2010 itu bagaimanapun enggan menerima sebarang watak melibatkan aksi ranjang terutamanya bersama lelaki sekiranya ditawarkan oleh pihak produksi.

Izara berkata, faktor usianya yang masih muda juga jadi penyebab dia enggan menerima watak-watak sedemikian.

Izara menjelaskan keputusannya itu tiada kena mengena dengan populariti sebaliknya lebih kepada prinsip sebagai seorang individu.

"Saya masih baru dalam industri dan rasanya masih banyak peranan lain yang boleh saya terokai dan watak wanita jahat dan aksi ranjang mungkin tidak sesuai buat masa ini dan tiada kena mengena dengan populariti yang sedang saya kecapi," ujarnya.

Bagaimanapun kata Izara, prinsipnya itu mungkin berubah suatu hari nanti jika dia sudah bersedia untuk menerima watak sedemikian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain