suria

Kilafairy Lega Bebas Daripada Kontroversi

Kilafairy. Foto CHAN TAK KONG
Kilafairy. Foto CHAN TAK KONG
Kilafairy. Foto CHAN TAK KONG

KUALA LUMPUR: Pelakon Kilafairy, 20, berasa lega kerana dirinya tidak lagi diulit dengan cerita-cerita kontroversi seperti yang pernah dilaluinya sebelum ini.

Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir Khan berkata, dia menganggap 'kehilangannya' buat sementara waktu untuk menghabiskan pengajiannya di kolej berjaya mengelaknya daripada terkena gosip-gosip panas.

"Sejak kebelakangan ini saya agak sepi daripada publisiti kerana memberi tumpuan sepenuhnya dalam pelajaran.

"Dan ia banyak membantu saya untuk mengelak daripada sebarang berita-berita sensasi dan kalau boleh biarlah cerita saya diisi tentang kerja-kerja yang saya buat," katanya kepada mStar Online.

Anak kepada penyanyi Rohana Jalil ini baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam bidang Pengurusan dan Pemasaran Fesyen, Kolej Antarabangsa Raffles, di sini.

Tambah Kilafairy, dia gembira dengan keadaan itu kerana merasakan kontroversi yang berlebih-lebihan dapat mengganggu perjalanan kariernya sebagai pendatang baru.

"Bagaimanapun, saya tidak menolak kontroversi kerana ia sememangnya rencah hidup dalam dunia glamor. Cuma saya perlu berhati-hati dalam setiap langkah pergerakan saya," ujarnya.

Sementara itu, mengenai perkembangan terbaru, Kilafairy bakal muncul di pawagam menerusi filem HOORE! HOORE! pada 24 Mei ini.

Ia merupakan filem kedua lakonan Kilafairy selepas Karak.

"Watak saya dalam HOORE! HOORE! dan Karak jauh berbeza. Lebih seronok lagi dalam HOORE! HOORE! apabila saya dapat menyanyi dan menari.

"Pengarahnya, Saw Teong Hin pula sangat kreatif dan sering membantu para pelakon supaya menjiwai watal masing-masing. Saya harap ia diterima ramai. Saya teruja dengan respons yang bakal diberikan nanti," tuturnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain