suria

Pelakon ‘Upin & Ipin’ Tertekan Jalani 23 Hari Pementasan

Faris Azim (kiri) dan Amir Johan sebagai Upin & Ipin. - Foto oleh M. AZHAR ARIF
Faris Azim (kiri) dan Amir Johan sebagai Upin & Ipin. - Foto oleh M. AZHAR ARIF
Faris Azim (kiri) dan Amir Johan sebagai Upin & Ipin. - Foto oleh M. AZHAR ARIF

KUALA LUMPUR: Dua pelakon cilik Faris Azim Abd. Karim (Faris) dan Amir Johan Nadim (Amir) yang menggalas watak kembar Upin dan Ipin dalam Upin & Ipin The Musical mengakui berasa tekanan dan kepenatan bagi memenuhi komitmen 23 hari pementasan itu.

Faris, 13, yang memainkan watak Upin berkata latihan dan pementasan yang silih berganti pada setiap hari meletihkan dirinya, namun dia tidak menolak kegembiraan dan pengalaman berharga yang dimiliki sepanjang pementasan berkenaan.

“Saya seronok dapat memainkan watak utama sebagai Upin. Walaupun teater ini menyediakan dua set pelakon untuk watak Upin dan Ipin, di mana kami akan bergilir-gilir untuk mengadakan persembahan, ia masih memenatkan.

“Kami mengadakan persembahan pada setiap hari, jika pada hujung minggu kami perlu membuat dua pementasan iaitu siang dan malam.

“Ia sangat meletihkan kerana kami sudah terlibat sejak kira-kira lima bulan bermula dengan sesi latihan lagi,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Pemegang watak Ipin iaitu Amir, 11, pula berkata latihan intensif dan panjang sejak lima bulan lalu bukan sahaja memenatkan mereka, malah dia turut berasa tertekan dengan keadaan tersebut.

“Setiap latihan dan persembahan akan berlanjutan ke lewat malam dan pada keesokan harinya saya perlu bersekolah macam biasa.

“Saya pernah berasa tertekan dan mahu lari sahaja sebab terlalu penat kerana tidak sempat untuk siapkan kerja rumah. Tetapi saya sangat seronok dengan pengalaman ini,” katanya.

Muzikal arahan Zaifri Husin itu mencatat rekod sebagai pementasan paling lama dipentaskan dalam sejarah Istana Budaya iaitu sebanyak 30 persembahan sepanjang 23 hari.

Diterbitkan Les’ Copaque Production Sdn Bhd dengan kerjasama CTRA Production, muzikal itu dipentaskan bermula 14 April lalu hingga 7 Mei ini.

KPJ Healthcare Berhad bertindak sebagai penaja utama.

Artikel Berikut

Artikel Lain