suria

'Journey To The West' Raih 1 Juta Penonton

PETALING JAYA: Drama bersiri popular Journey To The West telah mencapai rating tertinggi apabila berjaya meraih sebanyak satu juta penonton sejak tayangannya bermula pada 3 Januari lalu.

Drama klasik Cina kurun ke-19 yang dibikin semula itu merupakan tayangan pertama menerusi saluran 8TV di Asia.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan 8TV & ntv7, Airin Zainul, kejayaan tersebut membuatkan pihaknya mengadakan sebuah peraduan khas berdasarkan cerita yang disiarkan.

"Sebagai hadiah buat penonton, pihak 8TV dengan kerjasama syarikat kad prabayar Touch n’ Go memberi peluang untuk memenangi hadiah menarik dengan hanya menjawab soalan mudah dengan menonton drama tersebut," katanya.

Journey To The West mengisahkan tentang seorang Buddha bernama Tang Sanzang yang memulakan perjalanan ke Barat, bertujuan untuk mendapatkan sebuah kitab suci Buddha yang dikenali dengan nama kitab ‘Budha Sutra’.

Perjalanan Tang ditemani oleh tiga muridnya iaitu Sun Wukong yang merupakan ‘Raja Monyet’, ‘Pigsy’ dan ‘Sandy.’

Ikuti perjalanan mereka dalam misi mendapatkan kitab ‘Buddha Sutra’ yang pastinya menghiburkan dengan pelbagai aksi mencuit hati ditunjukkan dalam mengharungi cabaran dan rintangan.

Kisah mitos yang disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 8.30 malam ini juga menampilkan sejarah dan budaya tradisional di negara China.

Bagi yang terlepas peluang menonton episod sebelumnya, layari www.8tv.com.my / www.tonton.com.my.

Artikel Lain