suria

Asyraf (Imam Muda) Mula Dapat Kepercayaan Masyarakat

Asyraf
Asyraf
Asyraf

KUALA LUMPUR: Juara Imam Muda musim pertama, Asyraf berkata penglibatan kelompok pendakwah dalam dunia hiburan yang lebih komersial semakin mendapat respons daripada masyarakat.

Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 28, berkata trend pendakwah muda yang lebih mesra dan mudah didekati itu memberikan gambaran positif terhadap perkembangan dakwah Islam berbanding pendekatan konvensional sebelum ini.

"Saya akui melalui platform komersial sebegini ia sebenarnya membuka dimensi baru pada teknik dakwah.

"Pada awalnya, selepas menjuarai IM dua tahun lalu, saya bimbang juga jika ada pihak yang menganggap gabungan komersial dan dakwah tidak sesuai tapi alhamdulillah lama-kelamaan ia semakin diterima," katanya.

Asyraf berkata, seiring dengan arus teknologi dan perubahan gaya hidup semasa, dia tidak melihat ia sebagai satu isu bagi kumpulan pendakwah menggunakan unsur komersial dalam berdakwah.

"Kritikan kelompok ortodoks dan konvensional adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan tetapi yang penting niat kita iaitu untuk menyebarkan syiar Islam di kalangan masyarakat.

"Jika unsur komersial dan populariti pendakwah atau institusi agama itu boleh mendekatkan kita dengan masyarakat, saya tidak nampak ia satu kesalahan. Masyarakat Islam semakin terbuka hari ini," katanya.

Asyraf berkata impak daripada elemen komersial pada pendakwah muda sepertinya boleh dilihat apabila dia dikerumuni masyarakat ketika bertemu pada majlis-majlis ilmu atau kawasan umum.

"Saya berasa gembira dan bersyukur apabila golongan pendakwah mula digilai oleh masyarakat seperti mereka menyukai artis.

"Bukan mahu berbangga tetapi apabila saya atau rakan-rakan pendakwah lain dikerumuni masyarakat untuk bergambar atau bersalam, ia memberikan gambaran dan budaya yang baik.

"Sekali gus menunjukkan tiada jurang antara pendakwah dan masyarakat tidak seperti dulu di mana masyarakat berasa segan atau takut untuk mendekati pendakwah," katanya.

Terbaru, Asyraf dan naib juara IM1, Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 29, (Hizbur) bakal terlibat sebagai mentor kepada para peserta musim ketiga program itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain