suria

Almy Nadia Lebih Kuat Kerana Anak Angkat

Almy bersama anak angkatnya, Nur Afrina Darwisya yang kini berusia 3 tahun. Foto Ihsan Almy Nadia.
Almy bersama anak angkatnya, Nur Afrina Darwisya yang kini berusia 3 tahun. Foto Ihsan Almy Nadia.
Almy bersama anak angkatnya, Nur Afrina Darwisya yang kini berusia 3 tahun. Foto Ihsan Almy Nadia.

PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia menganggap kehadiran anak angkatnya yang dipelihara sejak tiga tahun lalu berjaya mengubah dirinya menjadi seorang wanita yang lebih matang dan bersemangat kuat.

Almy berkata, anak yang diberi nama Nur Afrina Darwisya itu turut mengajarnya erti kematangan dalam meneruskan kehidupan sebagai seorang wanita.

“Sejah setahun kebelakangan ini saya sibuk memberi tumpuan kepada anak angkat saya ini. Kehadirannya benar-benar telah mengisi kehidupan saya," katanya kepada mStar Online pada Majlis Pelancaran Wanita Inspirasi TV3 di sini pada Khamis.

Bercerita lanjut mengenai anak angkatnya itu, Almy berkata kanak-kanak itu diambil daripada salah seorang saudaranya dan mula menjaga sejak dilahirkan.

Tambahnya jika sibuk dengan jadual penggambaran, tugas menjaga Nur Afrina diberikan kepada ibu Amly yang tinggal di Pulau Pinang.

"Setiap kali habis penggambaran atau apa-apa kerja saya akan terus balik naik bas atau menaiki kereta api untuk balik ke Pulau Pinang bagi bertemu dengan anak," ujarnya.

Tambahnya, dia masih dalam proses mendapatkan hak penjagaan kekal daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap kanak-kanak tersebut dan dalam proses mendaftarkannya sebagai anak angkat secara sah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Jika Afrina dapat menjadi hak kekal saya, saya berhasrat untuk membawa ibu saya dan anak angkat saya itu mengerjakan Umrah," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai penerimaan kekasihnya iaitu pelakon Fizz Fairuz tentang keputusannya untuk mengambil anak angkat, Almy memberitahu Fizz tidak menghalang dan menerima Afrina dengan baik.

Bagaimanapun kekasihnya itu belum pernah berjumpa dengan Afrina kerana dia berada di Pulau Pinang.

"Fizz langsung tiada masalah dengan perkara tersebut dan menyokong tindakan saya untuk mengambil Afrina sebagai anak," ujarnya.

Sempat ditanya mengenai hubungannya dengan Fizz, Almy menjelaskan mereka masih lagi bercinta cuma tidak menunjukkan kemesraan itu di hadapan khalayak dan media.

Mereka memilih untuk bersikap 'low-profile' dan enggan mendedahkan terlalu banyak mengenai kisah cinta mereka kepada umum.

"Saya sedar pelbagai tohmahan orang buat mengenai hubungan kami dengan mengatakan bahawa kami telah putus cinta. Rasanya tak baik berkata begitu kerana ia boleh menjadi satu doa buat saya dan Fizz,” jelasnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain