suria

Watak Jalang Yasmin Kurang 'Ummph'!

BUKAN niat penulis ingin membuat perbandingan filem arahan Nazir Jamaluddin ini dengan filem kontroversi 'Perempuan, Isteri dan ...' lakonan Sofea Jane lebih 10 tahun lalu.

Namun, secara peribadi penulis merasakan filem Jalang tidak cukup 'kuat' berbanding filem arahan U-Wei itu sama ada dari segi penceritaan mahupun lakonan.

Memang tidak adil untuk membanding-bandingkan arahan sulung Nazir di layar perak dengan hasil karya U-Wei itu apatah lagi jalan cerita dua filem ini berbeza.

Namun mahu atau tidak, pihak penerbit dan pengarah juga harus menerima hakikat bahawa penonton pasti sedikit-sebanyak akan membandingkan dua buah filem ini dari pelbagai aspek kerana kedua-duanya mempunyai satu persamaan iaitu dengan mengetengahkan perempuan 'jalang' sebagai subjeknya.

Dan menerusi pengamatan penulis, 'kesilapan' terbesar syarikat penerbitan, De Baron Sdn Bhd adalah kerana mempertaruhkan bintang baru, Yasmin Khanif sebagai 'jalang' di dalam filem yang bakal memasuki pawagam pada 26 November ini.

Memang benar muka baru sepertinya amat diperlukan sebagai pelapis pelakon-pelakon yang sedia ada, malah difahamkan, nama-nama besar seperti Fazura dan Fasha Sandha juga 'kalah' di tangan pelakon baru ini kerana merasakan Yasmin mampu membawakan wataknya dengan baik.

Namun tatkala menonton filem ini pada sesi prebiu baru-baru ini, penulis rasakan Yasmin belum nampak 'bersedia' untuk ditampilkan sebagai tunjang utama sesebuah filem.

Yasmin nampak 'kaku' dan lakonannya tidak 'natural', lantas menampakkan dirinya sebagai perempuang jalang yang kurang 'umph' berbanding watak jalang yang pernah dilakonkan oleh Sofea dulu.

Hanya mempertaruhkan aksi 'daring' dan seksi rasanya tidak cukup memadai untuk Yasmin benar-benar menjiwai watak tersebut. Sempat juga penulis membayangkan nama-nama pelakon lain yang mungkin mampu menghidupkan watak itu.

Malah, Maria Farida yang membawakan watak sampingan sebagai seorang datin di dalam filem tersebut juga penulis rasakan lebih 'sesuai' untuk membawakan watak perempuan jalang itu.

Apapun, secara ringkasnya, Jalang mengisahkan tentang Maria, seorang Perunding Kanan di salah sebuah syarikat antarabangsa milik Tan Sri Jamaudi yang menjadikan tubuh badannya sebagai barang dagangan demi mendapatkan projek-projek besar di dalam dan luar negara.

Dia terperangkap dengan cinta lamanya, Ikram yang juga merupakan anak kepada Datuk Nahu, orang perantaraan yang menjadi ‘jambatan’ kepada kehidupan tidak bermoralnya.

Selepas dibuang buat kali yang kedua oleh kekasihnya Ikram, sebaik mendapat tahu tentang kehidupan sosialnya, Maria membawa diri ke kampung ibu angkatnya Mak Esah bagi muhasabah diri.

Dia diburu oleh teman baiknya Ben Adam yang dalam diam menyintainya walaupun sejak awal lagi sudah mengetahui tentang kisah buruknya.

Filem yang berklasifikasi 18PL namun bebas daripada potongan Lembaga Penapisan Filem (LPF) ini turut membariskan pelakon-pelakon seperti Hairi Othman, Maria Farida, Helmi Husaini, Kuswadinata, Fizow Omar, Yank Kasim, Norlia Ghani, Faizal Hussein dan Ridzuan Hashim.

Penulis juga ingin menyentuh sedikit tentang jalan cerita filem ini. Jelas, ia mempunyai mesej di sebalik apa yang dipamerkan.

Seorang wanita yang telah jauh tersasar hidupnya dan kemudian insaf memang sudah begitu klise di dalam drama mahupun filem.

Imran Ismail yang bertindak selaku penulis skrip filem ini mempunyai cara tersendiri dalam mengolahkan perjalanan cerita tersebut.

Cuma seperti yang dikatakan tadi, faktor pelakon juga perlu diambilkira jika ingin memastikan cerita yang disampaikan itu berkesan di hati penonton.

Jika kurang 'penjiwaan' watak itu, sehebat mana pun cerita tersebut, ia pasti sukar menambat hati mereka yang menonton.

Apapun, penulis memuji lakonan Hairi Othman, antara pelakon 'lama' yang membintangi filem ini.

Walaupun watak Ben Adam yang dibawanya nampak 'biasa-biasa' saja berbanding lakonan-lakonannya sebelum ini, namun tidak dinafikan Hairi tetap menyerlah di dalam filem tersebut.

Begitu juga dengan pelakon senior lain seperti Helmi Husaini. Malah, penampilan istimewa Faizal Hussein sebagai pengedar dadah juga meninggalkan impak walaupun babaknya hanya seketika.

Penulis tidak mahu meramalkan tentang kutipan yang bakal diraih oleh filem ini. Namun, penulis yakin, tajuk 'Jalang' itu sebenarnya sudah mampu membuatkan penonton teruja untuk menyaksikan filem ini.

Negatif mahupun positif kritikan yang diberikan itu, semuanya adalah lahir daripada pengamatan penulis. Malah penulis percaya, bakat Yasmin masih mampu digilap dengan baik!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain