suria

Ferhad jayakan konsert tribut Michael Jackson

Penganjur dan artis konsert tribut Michael Jackson. -foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN
Penganjur dan artis konsert tribut Michael Jackson. -foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN
Penganjur dan artis konsert tribut Michael Jackson. -foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN

PELBAGAI cara diadakan untuk mengingati idola kesayangan ramai, Michael Jackson yang telah meninggalkan 1001 kenangan manis dalam semua lagu-lagunya.

Ternyata jasa beliau yang paling dirasai ialah cara dia menyatukan manusia pelbagai kaum dalam lagu-lagunya seperti Black Or White, Heal The World, We Are The World, Earth Song, They Dont Really Care About Us, Will You Be There dan You Are Not Alone.

Bagi peminat-peminat Michael Jackson di Malaysia, mereka juga ada cara tersendiri untuk menyampaikan penghormatan terakhir mereka terhadap Raja Pop, Michael Jackson.

Homegrown Productions bakal pelopori penghormatan terakhir ini dengan mengadakan satu konsert percuma 'A Homegrown Tribute to Michael Jackson' di mana syarikat produksi ini akan menampilkan artis solo serta band-band indie tempatan pada malam konsert tersebut.

Menurut Pengarah Urusan dan Eksekutif Produser Homegrown Productions, Michael Christian Simon, konsert tribut ini merupakan satu penghormatan dari Homegrown, band-band indie dan artis tempatan kepada Michael Jackson kerana Michael merupakan ikon serta banyak mempengaruhi artis tempatan.

"Michael Jackson telah menjadi satu pengaruh dan inspirasi terhadap artis tempatan kita, jadi kami di Homegrown ingin bersama-sama mengingati ikon yang telah banyak membawa perubahan dalam isu perkauman ini.

"Bagi kami di Homegrown, konsert tribute ini merupakan satu konsert yang unik, kerana tidak pernah lagi konsert sebegini diadakan dan melibatkan artis solo serta band-band independent," jelas Michael.

Michael turut menjelaskan pada malam konsert nanti, kesemua artis akan menyanyikan lagu-lagu Michael Jackson mengikut 'arrangement' muzik mereka sendiri.

"Kita cuba untuk buat sesuatu yang unik, pada malam konsert itu nanti kita akan dapat mendengar lagu-lagu Michael Jackson akan dinyanyikan dalam rentak reggae, rock dan berbagai lagi.

"Band-band kita mempunyai cara mereka tersendiri untuk menyanyikannya dengan jenis muzik mereka sendiri, jadi sudah tentu mereka akan mengintepretasikan lagu-lagu tersebut mengikut cara mereka sendiri," katanya pada sidang akhbar yang berlangsung di Homegrown Space, wisma Bentley Music, Mutiara Damansara pagi tadi.

Ditanya mengapa tidak artis-artis mainstream yang telah mempunyai populariti dipilih bagi menjayakan konsert ini, Michael menegaskan bahawa fungsi utama Homegrown adalah untuk mengenengahkan band-band independent dan mempromosikan bakat-bakat pelukis dan penyair tempatan.

"Bukan Homegrown tak nak pilih artis-artis mainstream, tapi mereka sudah banyak dipromosi dan sudah terkenal pun, jadi Homegrown lebih memilih untuk mempromosi band-band independent tempatan agar mereka dapat lebih dikenali," kata Michael.

Michael juga memberitahu media, konsert ini turut akan dirakam dan akan ditayangkan di 8TV, namun tarikh siarannya masih tidak diketahui.

Artis yang turut hadir pada sidang ahbar tersebut, Ferhad dan Rithen (Dejavoodoo Spells) adalah antara artis yang bakal membuat persembahan pada malam konsert tersebut.

Bagi Ferhad, konsert tribute ini merupakan satu langkah yang baik bagi memperingati raja pop itu.

"Saya sendiri membesar dengan muzik Michael Jackson, dia seorang artis yang mempunyai populariti yang besar, jadi ini salah satu cara dari saya dan artis-artis lain untuk memberi tanda penghormatan kepadanya," kata Ferhad.

Sementara Rithen (Dejavoodoo Spells) pula mengatakan konsert ini merupakan satu platform buat mereka untuk menonjolkan muzik mereka di samping memberi penghormatan kepada Michael Jackson.

"Konsert ini adalah satu platform buat Dejavoodoo Spells untuk menambah pengalaman serta menghiburkan penonton dengan muzik kami.

"Tetapi apa yang penting buat kami adalah untuk memberi tanda penghormatan buat 'legend' pop ini," jelas Rithen.

Konsert 'A Homegrown Tribute to Michael Jackson' ini akan berlangsung pada 7 Ogos 2009 ini di Auditorium tingkat 4, Wisma Bentley Music, Mutiara Damansara.

Konsert satu malam ini bakal menampilkan band-band rock alternatif dan reggae tempatan seperti, Dejavoodoo Spells, Pure Vibracion dan Love Me Butch. Artis solo yang terlibat adalah Melissa Indot dan Ferhad.

Manakala artis hip hop, Jin Hackman turut akan membuat persembahan. Bagaimanapun, Jacyln Victor dan Joe Flizzow masih tidak memberi pengesahan untuk menyertai konsert ini atau tidak.

Turut hadir pada sidang akhbar pada pagi tadi, ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan Bentley Music Sdn Bhd, Lewis Hooper.

Bagi mereka yang berminat untuk menghadiri konsert ini, apa yang perlu dilakukan hanyalah anda perlu mendaftarkan diri anda sebagai VIP di www.homegrownspace.com.my dan anda akan dihubungi semula bagi mendapatkan tiket.

Bagaimanapun tiket ini hanya terhad kepada 400 orang yang mendaftar sebagai tetamu VIP Homegrown sahaja.

Untuk keterangan lanjut anda boleh melayari www.homegrownspace.com.my.

Artikel Lain