suria

Finas jangka 30 filem tempatan dihasilkan tahun ini

KUALA LUMPUR: Penerbit-penerbit filem Malaysia dijangka menghasilkan 30 buah filem tahun ini berbanding sejumlah 25 filem tahun lepas, kata Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Mahyidin Mustakim.

"Ia masih jauh daripada mencapai sasaran 50 buah filem setahun," katanya.

Sejumlah 23 filem dihasilkan pada 2007 dan 21 filem pada 2006.

Beliau berkata filem-filem asing masih mendominasi panggung wayang Malaysia dengan filem-filem Hollywood menguasai 69 peratus tayangan di panggung manakala filem tempatan sebanyak 11 peratus, filem Hong Kong (10 peratus) dan lain-lain (10 peratus).

Terdapat sebanyak 91 panggung wayang dengan 93,000 kapasiti tempat duduk di Malaysia dan menjana hasil sebanyak RM380 juta filem boxoffice serta 44 juta penonton, katanya sambil menambah kata bahawa penerbitan sebuah filem cereka di Malaysia dianggarkan kira-kira RM1.8 juta.

Bercakap kepada Bernama, Mahyidin berkata Malaysia menarik minat sejumlah 114 pengeluar filem asing tahun lepas meliputi penerbit filem cereka, dokumentari dan komersil sehinggalah penerbitan siaran televisyen.

"Kami telah menganjurkan banyak penerbitan filem antarabangsa termasuk Lust/Caution, DON, Road to Dawn, Billa, The Monkey King, Shadow Hunter, Anna and the King, Entrapment dan banyak lagi.

"Kami sedang mempertimbangkan satu pakej insentif bagi penerbit-penerbit filem asing yang meliputi kadar tambang, hospitaliti dan lain-lain. Bagaimanapun, insentif kami tertakluk kepada jumlah peruntukan bajet.

"Dengan kemudahan terkini, kami boleh membantu pengeluar filem tempatan dan asing dengan sokongan teknikal. Kami telah menerbitkan bersama filem dengan saluran National Geographic yang memang memberi faedah daripada segi pemindahan teknologi.

Penerbit-penerbit filem, kata beliau amat mengharapkan petugas berpengalaman dan terlatih, di samping lanskap yang indah bagi pengeluaran filem manakala Malaysia menawarkan landasan tenaga kerja yang baik. Menyifatkan Malaysia sebagai "syurga dunia pengeluar filem", Mahyidin berkata kerajaan mahu mempromosikan industri filem kerana pembikinan filem bukan sahaja mempunyai kepentingan sejarah dan kebudayaan tetapi juga merupakan aktiviti ekonomi yang menguntungkan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anita Sarawak ingin bersara?

Artikel Lain