suria

TNB Janamanjung Raih Anugerah Tenaga Asean 2017

KUALA LUMPUR: TNB Janamanjung Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) memenangi anugerah di majlis Anugerah Tenaga ASEAN 2017 yang berlangsung semasa Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga Asean (AMEM) ke-35 di Manila, Filipina baru-baru ini.

Anugerah yang diterima di bawah kategori Teknologi Arang Batu Bersih dengan kapasiti penjanaan melebihi 500 Megawatt (MW), merupakan pengiktirafan terhadap amalan terbaik TNB Janamanjung dalam teknologi dan penggunaan arang batu yang bersih.

Berasaskan kapasiti tersedia 3,100 MW, TNB Janamanjung merupakan pengeluar tenaga bebas terbesar Semenanjung Malaysia, menurut TNB dalam kenyataan, Ahad.

TNB Janamanjung, terdiri daripada empat janakuasa, terletak di pulau buatan di Seri Manjung, Perak.

Pengarah Urusan TNB Janamanjung, Datuk Shamsul Ahmad menerima anugerah itu daripadaPengarah Eksekutif Pusat Tenaga Asean, Sanjayan Velautham di Pusat Konvensyen SMX, Pasay City, Manila.

Anugerah Asean bagi kategori arang batu itu merupakan yang kedua bagi TNB Janamanjung selepas ia meraih anugerah yang sama pada 2013 sebagai pengiktirafan terhadap amalan terbaik dalam tanggungjawab korporat dan Pensijilan Spesifikasi Tersedia Umum (PAS) 55.

Anugerah Tenaga Asean merupakan badan pengiktirafan dianggotai 10 negara khusus untuk amalan terbaik dalam pembangunan industri tenaga di rantau ini.

-- Bernama
TNB Janamanjung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain