suria

PUNB Sasar RM100 Juta Biaya Usahawan Sabah 2018

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman (dua, kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM500,000 kepada Syarikat Malamega Sdn Bhd yang diwakili Kartina Boi sempena Program Prospernita PUNB 2017 Peringkat Negeri Sabah, Ahad.

KOTA KINABALU: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mensasarkanpenyaluran RM100 juta pembiayaan pinjaman kepada usahawan di Sabah bagi tempoh enam bulan pertama 2018, kata Pengerusinya Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam.

Beliau berkata, oleh itu, PUNB menggalakkan usahawan Sabah mengambil peluang memohon pembiayaan skim keusahawanan yang ditawarkan pihaknya bagi membolehkan mereka memperolehi modal untuk mengembangkan perniagaan.

"PUNB berharap pada tahun ini dan tahun depan jumlah pembiayaan pinjaman kepada usahawan Sabah dapat dipertingkatkan," katanya kepada pemberita selepas perasmian program Prospenita PUNB 2017 peringkat negeri Sabah oleh Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman di sini, Ahad.

Program itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Datuk Azhar Ahmad dan Pengerusi Program Prospernita PUNB, Datuk Jamelah A. Bakar.

Mohd Ali berkata Sabah menawarkan banyak industri yang berpotensi untuk dibangunkan termasuk sektor hospitaliti.

Beliau berkata, berdasarkan data skim keusahawan PUNB setakat 15 September lepas, pembiayaan PUNB kepada usahawan di Sabah masih lagi rendah iaitu RM48 juta daripada jumlah keseluruhan pembiayaan yang diluluskan di seluruh negara sebanyak RM2,7 bilion.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya akan memperluaskan operasi PUNB di Sabah menerusi pembukaan cawangan baharu masing-masing di Inanam pada November ini, dan Tawau pada Januari 2018 dengan masing-masing menempatkan 10 kakitangan.

Penubuhan cawangan baharu itu bertujuan memudahkan usahawan dan bakal usahawan di Sabah mendapatkan maklumat terkini skim pembiayaan PUNB secara terus dan mempercepat lagi proses permohonan pembiayaan mereka, sekali gus memastikan sasaran agensi tercapai.

Ketika ini, cawangan PUNB di Sabah beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kota Kinabalu.

Sementara itu, Musa berkata, program Prospenita anjuran PUNB dengan kerjasama IKSnita Sabah tersebut adalah landasan terbaik bagi menarik lebih ramai usahawan khususnya wanita mengambil peluang  yang disediakan agensi tersebut dalam usaha meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran perniagaan.

Program bertemakan 'Wanita dan Inovasi Dalam Perniagaan' itu dihadiri oleh lebih 700 usahawan Sabah.

Pada majlis itu, Musa turut menyampaikan cek pembiayaan PUNB kepada 12 usahawan wanita Sabah dengan jumlah keseluruhan RM2.575 juta.-- Bernama   


PUNB, Sabah

Artikel Lain