Stesen Janakuasa TNB RM6 Bilion, Manjung 6 Mula Operasi - Niaga | mStar

Stesen Janakuasa TNB RM6 Bilion, Manjung 6 Mula Operasi

KUALA LUMPUR: Stesen janakuasa Tenaga Nasioanal Bhd (TNB) bernilai RM6 bilion yang berasaskan arang batu, Manjung 5 (M5) memulakan operasi pada tengah malam Khamis, tiga hari lebih awal daripada tarikh yang disasarkan, iaitu 1 Oktober 2017.

Dalam satu kenyataan Khamis, TNB berkata, pembinaan M5 di Lumut, Perak mengambil masa 45 bulan dan stesen 1,000 megawatt itu menggunakan teknologi ultra superkritikal, standard emas semasa untuk stesen berasaskan arang batu di dunia.

“Kami berbangga dengan kerja keras yang diberikan pasukan bagi menyiapkan projek ini lebih awal daripada jadual. Pasukan berdedikasi daripada 88 kakitangan TNB telah menjayakan projek tersebut sejak pembinaan dimulakan pada Januari 2014," kata Naib Presiden Energy Ventures, Datuk Nor Azman Mufti.

Menurutnya, pasukan itu telah bekerjasama rapat dengan kontraktor yang dilantik, satu konsortium yang terdiri daripada Sumitomo Corp dari Jepun serta Daelim Industrial Co Ltd dari Korea Selatan.

Nor Azman berkata, TNB meningkatkan kecekapan kumpulan stesen termal itu dengan menggunakan teknologi ultra superkritikal terkini untuk stesen tenaga arang batu baharu kerana ia komited untuk mengguna pakai  teknologi bersih dan cekap dalam penjaaan kuasa.

Setakat ini, katanya, TNB memiliki dua stesen berasaskan arang batu yang ultra superkritikal, iaitu M5 dan jirannya, M4.

“Kedua-duanya adalah dua stesen janakuasa berasaskan arang batu ultra superkritikal yang pertama di Asean.

“TNB juga sedang membina dua stesen janakuasa yang sama,  iaitu stesen janakuasa Jimah  East 2X1,000MW yang akan ditauliah pada 2019,” katanya.-- Bernama 

Manjung 6

Artikel Sebelum

Geely Lantik Daniel Donghui Li Pengerusi Lotus

Artikel Berikut

Artikel Lain