suria

E-Dagang: Syarikat Malaysia Digesa Teroka Pasaran China

BEIJING: Syarikat Malaysia wajar meneroka pasaran pengguna China yang besar menerusi e-dagang bagi mempromosi produk masing-masing, kata Duta Besar Malaysia ke China Datuk Zainuddin Yahya.

Beliau berkata dari segi hubungan dua hala Malaysia-China, tiga suku pertama tahun lepas menyaksikan dagangan Malaysia dengan China bagi bahan makanan bernilai US$1.2 bilion.

Namun, Malaysia hanya mengeksport US$350 juta bahan makanan ke China.

"Lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi menggalakkan pengeksport Malaysia menjual lebih banyak produk mereka ke China. Saya berharap pihak berkuasa China akan memudahkan kemasukan bahan makanan terbabit, termasuk buah-buahan tropika dari Malaysia," katanya.

Zainuddin berkata Perdana Menteri China Li Keqiang juga memaklumkan bahawa  China akan membeli lebih banyak buah-buahan tropika dari Malaysia semasa lawatannya ke Malaysia pada November tahun lepas.

"Kedua-dua negara perlu menggandakan usaha untuk meningkatkan jumlah dagangan kepada US$160 bilion menjelang 2017," katanya pada 'Chunbo Global Cooking School: Taste of Malaysia', di sini Ahad.

Program itu yang pertama kali dijalankan bersama kedutaan, dianjurkan oleh syarikat e-dagang China, Beijing Chunbo Technology Co. Ltd, Regal Plus (China) Co Ltd, syarikat yang mengimport produk makanan dari Malaysia dan Bahagian Pertanian Kedutaan Malaysia.

Isteri duta besar, Datin Fairos Ishak dijemput sebagai cef jemputan khas dan memasak beberapa hidangan Malaysia bagi mempromosi rasa tempatan di China.

Sup Tom yum, nasi goreng, bubur durian bersama pulut dan cucur durian antara hidangan terkenal Malaysia yang dihidangkan kepada lebih 200 peserta pada acara itu.

Zainuddin berkata berdasarkan terdapat lebih 600 juta pengguna Internet di China, dan angka itu semakin meningkat, sudah pasti menyediakan peluang hebat untuk syarikat meneroka e-dagang.

"Namun, persaingan dalam perniagaan dalam talian semakin hebat dan oleh itu syarikat mesti berupaya untuk menawarkan produk yang berbeza bagi menarik pelanggan," katanya.

China, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain