suria

Volvo Malaysia Sasar Terajui Segmen Trak Tahan Lasak

SEBERANG PERAI: Volvo Malaysia Sdn Bhd menyasar untuk menjadi peneraju jenama trak tahan lasak setelah melabur RM75 juta untuk mengembangkan rangkaian di Malaysia pada tahun lepas.

Pengarah Urusannya Mats Nilsson berkata kumpulan itu akan terus mengukuhkan kehadiran jenama di Malaysia dan meningkatkan sokongan selepas jualan ke peringkat lebih tinggi.

"Kami telah mencapai pertumbuhan yang cemerlang dalam perniagaan trak dan akan terus meningkatkan bahagian pasaran selepas pertumbuhan hebat 38.5 peratus dalam jualan trak tahun lepas.

"Pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai jenama peneraju dalam segmen trak tahan lasak Eropah di Malaysia," katanya kepada pemberita sebelum perasmian pusat pengedaran baharu Volvo Malaysia oleh Duta Besar Sweden ke Malaysia Bengt Carlsson di sini.

Pada masa ini, Volvo menguasai 57 peratus daripada bahagian pasaran untuk trak tahan lasak di Malaysia.

Nilsson berkata kumpulan telah melabur RM8.5 juta untuk menaik taraf ruang dan kemudahan pusat pengedaran Prai, yang terletak di Zon Perindustrian Prai.

Beliau berkata pelancaran pusat ini menunjukkan komitmen Volvo dalam menyediakan Malaysia jangkauan lebih dekat kepada jenama dan pengalaman pemilikan kumpulan.

"Pelaburan seperti ini penting bagi pembangunan Volvo selanjutnya di Malaysia dan mencerminkan kehadiran kami berkembang di bahagian utara Malaysia dan juga menunjukkan strategi pertumbuhan kami," katanya.

Beliau berkata Prai adalah wakil jualan ketiga kumpulan yang baharu tahun ini selepas pembukaan pengedaran baru dinaik taraf di Sibu dan Ipoh.

"Pengedaran kami yang akan dinaik taraf ialah Johor Baharu, yang dijangka siap pada suku terakhir tahun ini," katanya.

Tambahnya, Volvo Malaysia kini memiliki lapan pengedar, dengan tiga lagi  dimiliki rakan kongsi di seluruh Malaysia.

Volvo Trucks menawarkan penyelesaian pengangkutan lengkap untuk pelanggan trak tahan lasak profesional dan komersial, yang diperkenalkan di Malaysia pada 1969.

Pada masa ini, Volvo Malaysia mempunyai tenaga kerja lebih 230 orang.

Volvo

Artikel Lain