suria

Isteri sedekah wang kepada pakcik kutip botol, suami istighfar tengok reaksi dari cermin pandang belakang

Seorang wanita bersedekah kepada seorang pakcik pengutip botol. -Gambar hiasan (kiri)

SETIAP daripada kita pasti tidak dapat lari daripada diuji dengan kesusahan dalam menjalani kehidupan masing-masing.

Seorang wanita tersentuh hati apabila melihat seorang pakcik yang diuji kehidupannya begitu menghargai pemberian kecil daripada dirinya dan suami.

Menerusi satu hantaran yang dibuat oleh Nur Farina Abdullah, dia berkongsi pengalaman terserempak dengan pakcik berkenaan ketika dia dan suami mahu keluar rumah.

Seorang wanita sebak selepas membantu seorang pakcik. -Gambar hiasan

"Dua atau tiga hari lepas kami suami isteri nak keluar rumah, ternampak seorang pakcik ni jalan kaki tepi pagar rumah.

"Suami pun cakap pakcik ni jalan keliling kampung cari botol kosong dan kotak untuk dijual," ujarnya,  menceritakan kejadian pada bulan Ramadan lalu dalam hantaran di Facebook.

Menurut cerita suaminya, lelaki warga emas itu pernah pengsan ketika mengutip botol sebelum ini akibat keletihan.

Pada waktu sama juga, tanpa berfikir panjang, suaminya terus menyeluk poket dan mengeluarkan beberapa keping wang kertas berwarna biru, dipercayai not kertas bernilai RM1.

ARTIKEL BERKAITAN: Tawar servis angkat barang ke kereta, tapi tolak RM10... cikgu akui pakcik itu ‘ajar’ sesuatu – “Janji apa yang kita buat halal, jalan terus!”

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak tahu berapa jumlah duit syiling tapi bunyi keceng, keceng” - Guru sebak pelajar duduk rumah papan ‘biasa-biasa’ derma bantu 3 beradik yatim piatu

Kemudian, suaminya meminta dia memberikan sejumlah wang kepada pakcik itu sebagai sedekah.

"Saya pula buka beg duit dan rupanya duit dalam wallet saya lagi banyak ada macam-macam warna. Pelik juga dari mana entah ada duit tunai berkeping-keping dalam wallet.

"Saya tarik sekeping dan ngam-ngam kereta sampai tepi pakcik tu, saya buka tingkap kereta bagi dalam dan hulur dekat pakcik tu. Saya cakap buat beli apa-apa untuk berbuka puasa nanti. 

"Pakcik tu cakap terima kasih dan suami pun teruskan perjalanan," katanya lagi.

Ada orang dapat RM20 rasa tak cukup nak beli apa pun. 

NUR FARINA

Namun, detik paling meruntun hati adalah apabila suaminya tiba-tiba menyebut Allahuakbar dengan nada sebak selepas meninggalkan pakcik berkenaan.

Rupa-rupanya dari cermin pandang belakang, suami Farina melihat pakcik itu mencium wang yang diberikan kepadanya.

"Dalam hati sebak juga sebab ye la... susah setiap orang ni berbeza. Ada orang dapat RM20 rasa tak cukup nak beli apa pun. 

"Tapi ada orang dapat RM20 tu macam-macam benda boleh dibeli untuk teruskan kehidupan mereka," ujar Farina.

Antara komen netizen memuji Farina.

Tambahnya lagi, selepas melihat situasi itu, dia terdetik untuk mula mengumpul botol dan kotak di rumahnya untuk diberikan kepada pakcik tersebut.

Perkongsian ini mendapat perhatian ramai netizen yang rata-ratanya tersentuh dengan kisah yang diceritakan. 

Rata-rata turut memuji keprihatinan pasangan suami isteri ini yang ringan tangan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.

Artikel Lain