suria

Tawar servis angkat barang ke kereta, tapi tolak RM10... cikgu akui pakcik itu ‘ajar’ sesuatu – “Janji apa yang kita buat halal, jalan terus!”

Seorang lelaki warga emas menawarkan servis mengangkat barang-barang pengunjung sebuah kompleks beli-belah ke tempat letak kereta. Gambar hiasan/Foto AZMAN GHANI

KEBIASAANNYA kita diperdengarkan dengan kisah anak-anak muda yang tampil membantu golongan yang berusia mahupun warga emas.

Namun, lain pula dengan kisah seorang guru apabila muncul seorang warga emas yang menegurnya semasa mahu beredar dari sebuah kompleks beli-belah.

"Habis berbelanja saya keluar menuju ke kereta saya. Tiba-tiba datang seorang pakcik sapa saya. Dia kata 'Dik, mari pakcik tolong angkat barang adik ke kereta'

ARTIKEL BERKAITAN: "Tak tahu berapa jumlah duit syiling tapi bunyi keceng, keceng" - Guru sebak pelajar duduk rumah papan 'biasa-biasa' derma bantu 3 beradik yatim piatu

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta bergerak guna 'tayar pinjam', wang bantuan guna beli bateri... rupa-rupanya kisah pasangan ini ada plot twist – "Kalau beli makanan akan habis juga"

"Saya kata 'tak apa pak cik, tak apa...' sebab barang saya walaupun banyak tapi saya boleh angkat sendiri," tulisnya menerusi halaman Facebook bernama Muhammad Yusof.



Seorang guru disapa oleh warga emas selepas berbelanja di sebuah kompleks beli-belah. Gambar hiasan/Foto SAMUEL ONG

Riak wajah pakcik itu kelihatan sedih sejurus pelawaannya ditolak dan rupa-rupanya warga emas itu sebenarnya menawarkan servis mengangkat barang pelangan-pelanggan ke kereta.

Muhammad Yusof berkata, walaupun caj yang dikenakan oleh warga emas itu adalah bergantung kepada pelanggan, tetapi dia secara baik menolak tawaran tersebut.

"Bayar ikut ikhlas pelanggan. Saya tak sampai hati nak suruh dia angkat barang saya cuma saya hulurlah RM10 tapi pakcik tu tolak.

"Dia kata 'tak apa dik, pakcik bukan minta sedekah. Pakcik ambil upah buat khidmat ni kalau ada angkat barang je. Tak angkat barang pakcik tak ambil duit orang'," katanya.



Warga emas tersebut menolak pemberian RM10. Gambar hiasan/Foto FB Izhar Ruslan

Menurut guru itu, ternyata tahun 2020 merupakan tempoh yang amat mencabar bagi sesetengah orang, terutama mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

"Minggu lepas saya ada tengok berita mahasiswa ambil upah buang sampah kat flat-flat. Sungguh ni, struggle is real!" ujarnya.

Pakcik ni ajar saya sesuatu hari ni, walaupun susah mana pun kita berusahalah. Janji apa yang kita buat tu halal, jalan terus!

MUHAMMAD YUSOF

Dia turut menyedari tindakan warga emas itu yang mendekati setiap pelanggan yang membawa banyak barang dan menawarkan perkhidmatannya.

"Pakcik ni ajar saya sesuatu hari ni, walaupun susah mana pun kita berusahalah. Janji apa yang kita buat tu halal, jalan terus!

"Sebenarnya masa PKP ni saya jumpa macam-macam pengalaman yang menginsafkan sekali gus mendewasakan saya," tambahnya.



Perkongsian seorang guru mendapat perhatian netizen.

Sehubungan itu, Muhammad Yusof turut menyuarakan mengenai kesyukuran kerana mempunyai pekerjaan dan dapat menampung kehidupan seharian.

"Kalau kita masih ada pekerjaan, masih cukup makan minum, masih ada keluarga bersama-sama kita, bersyukurlah.

"Kerana di luar sana ada yang hilang pekerjaan, ada orang yang hanya alas perut minum air paip sebab tak ada duit nak makan dan ada yang terpisah jauh dari keluarga. Jadi, bersyukurlah.

"Doa saya semoga pakcik dan semua rakan yang terkesan dengan Covid-19 ini akan dimurahkan rezeki sentiasa," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
pakcik, Muhammad Yusof, servis,

Artikel Lain