SEORANG pekerja kantin ditahan selepas didakwa memukul dan mencederakan anaknya di sebuah pasar raya di Perlis.
Penahanan itu dibuat di sekitar Mata Ayer susulan tularnya rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan dia menampar anaknya secara berulang kali.
Kekasaran yang dilakukan wanita berusia 37 tahun itu menyebabkan mangsa jatuh dan cedera akibat terhantuk bucu bangku di hadapan pasar raya.
Menurut Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi, anak mangsa yang berusia empat tahun luka pada kening dan sudah diberikan rawatan.
"Dalam video tular itu memaparkan suspek memukul bahagian belakang kepala seorang kanak-kanak perempuan sehingga terhantuk di bucu bangku dan berdarah.
"Kejadian disyaki berlaku di hadapan kaki lima pasar raya di Jejawi, Arau dan suspek akan dibawa ke mahkamah untuk direman bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.