suria

Usahawan terkejut pasangan yang dibantu belum kahwin, tapi tak kan ambil balik kereta! Anggap semuanya ‘kisah silam’, sokong cepat nikah

Pasangan ini menerima sebuah kereta terpakai untuk memudahkan urusan keluarga.

KECOH satu Malaysia bercerita tentang pasangan tular yang membawa bayi berusia 11 bulan menaiki motosikal dengan bantuan alat pernafasan yang belum berkahwin.

Pendedahan bahawa wanita yang sering dilihat bersama lelaki itu sebenarnya bukan isterinya mengejutkan ramai kerana kisah mereka sebelum ini meraih simpati masyarakat yang menyangka mereka sudah berkahwin.

Turut 'tertipu' adalah seorang usahawan yang menghadiahkan sebuah kereta Proton Persona terpakai kerana rasa simpati kepada nasib keluarga itu.

Pasangan ini berulang-alik ke hospital bagi mengambil ubat untuk anak.

Tampil menjelaskan perkara sebenar, usahawan berkenaan, Firdaus Shariffuddin Arshad mengakui dia hanya mengetahui status pasangan itu selepas ia disiarkan menerusi berita yang dilaporkan pihak media.

Tidak cepat melatah, dia yang lebih dikenali sebagai Daniel Firdaus menganggap status hubungan tersebut adalah 'kisah silam' pasangan itu dan niatnya hanya mahu membantu anak yang dijaga mereka.

"Saya tak tahu mereka belum berkahwin. Tapi bagi saya ia adalah 'sejarah silam' kerana benda yang tak baik boleh jadi baik sekiranya mahu berubah.

"Saya bukan ustaz atau badan berkuasa untuk menegur atau mengambil tindakan ke atas mereka. Tapi saya menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat prihatin yang mengenang kesusahan mereka menjaga anak yang sakit kronik," katanya ketika dihubungi mStar.

Daniel Firdaus menghadiahkan Proton Persona terpakai untuk kegunaan keluarga ini.

Mengulas lanjut, usahawan berusia 36 tahun itu berkata, dia terdetik hati untuk membantu keluarga itu kerana mahu meringankan beban mereka yang perlu berulang alik ke hospital.

"Pada asalnya, dia (bapa bayi) nak beli kereta terpakai yang murah untuk bawa anak mereka ulang alik ke hospital. Kalau naik motor agak susah dengan keadaan anak yang pakai tiub dan cuaca hujan yang tidak menentu.

"Perkara yang baik, kita sokong. Kisah silam dia dan jika mahu berubah kepada yang lebih baik, saya pun sokong," ujarnya yang mengusahakan bisnes kereta terpakai di Jalan Langgar di Alor Setar, Kedah.

Saya bukan ustaz atau badan berkuasa... tapi saya menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat prihatin.

FIRDAUS SHARIFFUDDIN ARSHAD

PENGUSAHA KERETA TERPAKAI

Sebagai bapa kepada tiga cahaya mata, dia dapat menyelami kehidupan mereka yang terpaksa menjaga anak-anak dalam keadaan susah dan serba kekurangan.

"Saya sendiri ada anak, dan saya juga pernah hidup susah kerana bukan datang dari keluarga yang senang.

"Semua ini kerja Tuhan. Kalau kisah dia tak viral, orang tak tahu perkara yang sebenar dan ujian ini juga yang mungkin membuatkan mereka mahu berubah kepada lebih baik," ujarnya yang turut berasal dari Alor Setar.

Daniel Firdaus (kanan) bersama isteri.

Sehubungan itu kata Daniel Firdaus, masyarakat seharusnya memberi sokongan moral kepada pasangan itu untuk menghalalkan hubungan mereka dan seterusnya meneruskan tanggungjawab menjaga anak berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan bawa bayi naik motor mengaku bukan suami isteri, rancang kahwin minggu depan

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki anak... Keluarga bawa bayi naik motosikal ke hospital dapat hadiah Proton Persona

"Kita manusia, bukannya Tuhan untuk hukum orang kerana kisah silam mereka. Patut diberi peluang kedua, ketiga.

"Beri mereka semangat baharu kerana mungkin mereka sebelum ini tiada ilmu, tak sedar atau tak tahu apa yang dilakukan itu salah.

"Apa saja kisah mereka, sebaik-baiknya kita sama-sama berdoa yang baik-baik. Kerana hidayah itu milik Allah," ujarnya lagi yang pernah memberi bantuan berupa keperluan makanan dan kewangan kepada keluarga itu pada Mac lalu sempena Ramadan.

Kedai kereta terpakai yang beroperasi di Alor Setar, Kedah.

Pada masa sama, dia yang juga mengusahakan bisnes kosmetik dan kedai makan itu turut berharap pemberian kereta itu turut menyuntik semangat kepada keluarga tersebut menjalani kehidupan lebih baik termasuk menghalalkan hubungan.

"Saya juga berharap dia dapat menggunakan kereta itu untuk bawa anak ke hospital dan kegunaan yang baik-baik. Saya tiada kuasa untuk menghalang kerana kereta itu adalah milik dia yang saya dah settle dari segi servis dan tayar pun baharu.

"Untuk seterusnya seperti minyak dan maintenance akan datang, itu dia kena usaha sendiri termasuk menerusi sumbangan orang lain.

"Saya sudah tolong bahagian saya dengan menyediakan kereta untuk keperluan. Lain-lain seperti kewangan, orang lain pun boleh tolong. Bantulah dengan ikhlas," katanya.

Daniel Firdaus (kiri) bersama arwah bapa.

Untuk rekod, kisah pasangan Mohd Azlan Ishak, 36, dan Norhidayu Halim, 35, yang tidak mampu membayar tambang teksi untuk membawa anak yang sakit ke hospital turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keadaan kewangan yang terbatas menyebabkan mereka perlu berulang-alik ke hospital menaiki motosikal bagi mengambil ubat.

Bayi lelaki itu terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan hampir setiap masa akibat menghidap masalah paru-paru kronik.

Pada Jumaat, Azlan memaklumkan bahawa Norhidayu sudah bercerai sejak Ogos tahun lalu dan mereka merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain