suria

Mainkan perasaan orang Kelantan, gah iklan makan free tapi kedai ditutup... Pemilik akur dikecam, ada agenda lain

Banner pada Restoran Mek B yang mengelirukan.

TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Tindakan sebuah restoran memasang kain rentang yang memaparkan makanan percuma pada setiap hari Rabu mengundang pelbagai kecaman warga maya.

Ia berikutan terdapat sebaris ayat pada ruangan bawah kain rentang tersebut yang menyatakan restorannya dibuka setiap hari kecuali Rabu iaitu hari pemberian makanan percuma.

Menerusi beberapa posting tular berserta gambar yang dikongsikan, ramai warga maya meluahkan rasa marah dan kecewa dengan tindakan pemilik restoran yang didakwa tidak prihatin serta mengelirukan.

Malah ada yang menganggapnya sebagai memberi harapan palsu kepada masyarakat terutama mereka yang berada dalam kesusahan dan memerlukan.

Antara perkongsian di laman X tentang kekeliruan pada kenyataan tersebut.

Antara perkongsian di laman X tentang kekeliruan pada kenyataan tersebut.

"Ni betul-betul next level punya mainkan perasaan orang.

"Makan percuma hari Rabu walhal hari Rabu dia tutup.

"Kau akan rasa sedih once kau terfikir ada orang yang betul-betul susah nampak tanda makanan percuma tapi rupanya main-main," demikian antara reaksi netizen yang berkongsikan posting berkenaan.

Tampil menjelaskan isu tersebut, pemilik restoran Mek B di Kubang Kerian, Kelantan yang ingin dikenali sebagai Nazri berkata, apa yang dilakukan adalah untuk 'memperkenalkan' premisnya kepada orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Restoran tiada staf, owner percaya pelanggan! Sendiri bungkus, kira dan bayar... Hutang pun boleh - “Tinggi tawakal dia”

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh tauke restoran mengaku letak ‘bahan istimewa’ dalam makanan influencer, tunggu KKM serbu! - "Dah terciduk, cakap marketing”

Malah ketika dihubungi mStar, dia mengakui telah menjangkakan implikasi serta kesan daripada kenyataan yang dibuat pada kain rentang tersebut sebelum menggantungnya untuk tatapan umum.

"Saya ni baru 'set-up' untuk buat menu makan tengah hari, sebelum ni kedai beroperasi malam untuk masakan panas je.

"Jadi kami gantung pada hari Khamis (25 April). Ayat kat situ... sebelum saya buat memang tahu akan mengelirukan orang tapi memang dalam perancangan untuk buat makan free pada hari Rabu," ujarnya yang mempunyai 'agenda' di sebalik kenyataan berkenaan.

Menurut Nazrin, penggunaan ayat yang mengelirukan itu adalah salah satu teknik pemasaran supaya orang ramai tahu tentang pengoperasian restorannya.

Orang kelantan terlalu suka makan free, sebab itu buat idea macam ni... nanti kita jelaskan pada video.

PEMILIK RESTORAN MEK B

Susulan itu, dia memutuskan untuk membiarkan sahaja kecaman dan hentaman yang dibuat warga maya termasuk beberapa pempengaruh media sosial berhubung isu tersebut.

"Tak semua boleh terima cara tu dan tak nafikan yang memahaminya menganggap ia sebagai satu jenaka.

"Cuma, apabila ada pihak yang menyebarkannya dalam sentimen negatif, maka warga maya akan tampil dengan komen yang seumpamanya," tambahnya sambil menegaskan telah bersedia menerima kecaman.

Enggan terus mengeruhkan keadaan, ujarnya, video penjelasan bagi menjernihkan isu terbabit akan disiarkan pada Rabu (1 Mei) sekali gus mengumumkan agenda sebenar restorannya.

Antara menu asas yang dihidangkan untuk makan tengah hari.

Antara menu asas yang dihidangkan untuk makan tengah hari.

Turut menyelar tindakan sesetengah 'Facebook Page' yang membuat spekulasi awal, Nazrin berkata, apa yang dilakukan itu bertujuan untuk memastikan golongan sasar iaitu mereka yang berkelayakan sahaja akan menerima sumbangan makanan percuma.

"Kita nak bagi manfaat pada golongan sasar... 'page' tak boleh menilai terlalu awal.

"Untuk minggu pertama, kita akan berikan pada asnaf serta anak yatim manakala minggu kedua dikhususkan kepada orang ramai dan minggu ketiga untuk waris atau penjaga yang berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)," tambahnya.

Ikan gelama bekak antara sajian rare yang menanti pengunjung.

Ikan gelama bekak antara sajian rare yang menanti pengunjung.

Berkongsi tentang sajian terkini yang dilancarkan untuk makan tengah hari, ujarnya, menu utama adalah nasi ulam budu di samping hidangan tradisional yang berkonsepkan era 80-an.

"Waktu operasi untuk makan tengah hari adalah dari 11 pagi sehingga 5 petang manakala untuk makan percuma pada hari Rabu pula dibuat sepanjang hari," katanya.

Dalam pada itu, dia turut menyatakan tindakan tersebut bagi mengubah sikap kebanyakan rakyat Kelantan yang gemar membanjiri mana-mana premis atau jemputan apabila terdapat perkataan 'percuma'.

"Orang Kelantan terlalu suka makan free, sebab itu buat idea macam ni... nanti kita jelaskan pada video tu (siaran pada Rabu).

"Saya nak buktikan pada netizen tentang typical orang Kelantan. Selama saya berniaga, payah nak nampak orang susah datang makan percuma," luahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain