suria

Tiba-tiba ada anak tak sah taraf, wanita percaya identiti dicuri selepas MyKad hilang - “Ini libatkan maruah, dosa saya tak pernah buat”

Nur Syuhada mengimbas kembali kejadian identiti dirinya dicuri.

KES kehilangan kad pengenalan atau MyKad sering berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pernah mengalami perkara sama, seorang wanita tidak menyangka kehilangan tersebut membuatkan dirinya berdepan masalah besar termasuk dibebani hutang.

Berkongsi cerita di laman TikTok, pemilik akaun Nur Syuhadah ini berkata, dia mendapat panggilan telefon yang nombornya bermula dengan 06.

Menurutnya, disebabkan pada waktu itu dia sedang menunggu panggilan dari Hospital Seremban (Negeri Sembilan) berkenaan laporan perubatan, dia menjawab talian tersebut.

Nur Syuhada bersama ahli keluarganya.

Nur Syuhada bersama ahli keluarganya.

Namun dia terkejut apabila pemanggil bertanyakan sama ada dirinya adalah ibu kepada Rezki atau tidak.

Bukan itu sahaja, individu tersebut turut menyatakan panggilan itu dibuat bagi membuat pengesahan tentang anak tidak sah taraf.

"Dia maklumkan panggilan dari JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) Rembau. Selepas semakan menggunakan nombor Mykad, semua 'details' adalah betul seperti yang disebut.

"Pegawai tu berkali-kali cakap seolah-olah nak saya mengaku yang saya ada anak tak sah taraf... tak apa puan saya faham, saya cuma nak jaga kebajikan kanak-kanak ni.

ARTIKEL BERKAITAN: Siswa UUM lega, umur 20 tahun akhirnya dapat Mykad... Rasa nikmat dapat status warganegara, boleh buat lesen memandu

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar tawar khidmat melukis atas alasan nak ganti MyKad hilang kali kedua dikecam – “Saya tak berduit, tapi tak minta sedekah!”

"Dia nak supaya hak penjagaan diserahkan kepada nenek budak tu. Anak tak sah taraf ni lahir pada 2009 dan mungkin usianya 15 tahun sekarang," katanya.

Bercerita lanjut berdasarkan apa yang difahaminya, wanita ini berkata, ibu remaja tersebut telah meninggalkannya di hadapan rumah bekas kekasih ketika dia berumur empat tahun.

Tambahnya, pihak JKM kini berusaha mencari bapa kepada remaja tersebut tapi malangnya tidak dapat dihubungi.

"Nenek budak tu cakap yang anaknya dah lama tak balik rumah, bertahun-tahun sehingga tak tahu duduk di mana.

Sekitar 2009 tu, saya berada di tahun akhir pengajian Diploma di Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak.

WARGA MAYA

"Jadi, mereka cari saya supaya saya hadir ke mahkamah untuk uruskan hak penjagaan anak dan diserahkan kepada si nenek," katanya yang terus berkeras menafikan dirinya terlibat dengan kes ini.

Tekanan yang diberikan pegawai tersebut membuatkan dia percaya kes tersebut mempunyai kaitan dengan MyKad miliknya yang hilang pada 2009.

"Saya pernah hilang IC (MyKad) pada 2009 dan buat report untuk dapat kad baharu. Sebelum ni ada kes guna IC saya untuk buat loan.

"Saya tahu pun lepas nak buat loan kereta Honda, tapi tak boleh sebab katanya ada loan sangkut hutang," ujarnya yang tidak menyangka masalah pada 2016 timbul sekali lagi pada 2024.

Netizen turut meluahkan kebimbangan pada videonya.

Netizen turut meluahkan kebimbangan pada videonya.

Ingin membersihkan namanya, dia membuat laporan polis dan semakan di JKM berkenaan.

"Perkara ni melibatkan maruah saya, maruah keluarga... dosa yang tak pernah buat. Pegawai tu pun cakap kes ni pelik sebab tak pernah berlaku," jelasnya.

Ketika dihubungi mStar, Nur Syuhadah Sailan berkata, dia membuat laporan polis berhubung perkara tersebut dan menghantar salinan kepada JKM Rembau seperti yang diminta.

Ujar wanita berusia 37 tahun itu lagi, dia pernah berkahwin pada 2014, namun telah berpisah setahun kemudian dan tidak memiliki anak daripada perkahwinan berkenaan.

"Pihak JKM minta saya emelkan laporan polis supaya mereka boleh serahkan kepada mahkamah. Panggilan tu dibuat untuk mendengar perbicaraan bagi nenek remaja tersebut mendapatkan hak penjagaan.

"Sekitar 2009 tu, saya berada di tahun akhir pengajian Diploma di Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak," ujarnya yang berasal dari Sepang, Selangor.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain