suria

Remaja autisme lari rumah, keluarga sedar lepas tengok pintu terbuka! Ibu tak tunggu lama, terus lapor polis

Wafi ditemui oleh pihak polis di Denai Larian Sungai Perlis tiga jam selepas dilaporkan hilang. -Foto Nurbubble (kanan)

KEHILANGAN seorang remaja autisme dari kediamannya di Kangar, Perlis mencetuskan keresahan dalam kalangan anggota keluarga.

Menurut Alice Afeefa, 20, adik lelakinya dikenali sebagai Wafi dipercayai keluar dari rumah secara senyap kira-kira pukul 11 pagi sebelum kehilangannya disedari beberapa minit kemudian.

Ketika dihubungi mStar, Alice berkata adiknya yang berusia 14 tahun itu 'meloloskan' diri gara-gara pintu rumah mereka tidak berkunci pada pagi Ahad, 17 Disember baru-baru ini.

Hantaran asal mengenai adik Alice yang hilang.

"Adik lelaki bongsu saya berusia 13 tahun tu tengah buat kerja rumah memandangkan cuti sekolah. Dia nak cuci baju dekat mesin basuh luar rumah.

"Jadinya pintu belah depan tu adik saya tak kunci. Sebab itulah Wafi boleh lari keluar rumah. Selepas beberapa minit adik perasan dia tak ada.

"Jadi dia maklumkan kepada kami semua yang ada dalam rumah pada waktu," ujar Alice kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Zayn Rayyan masih hilang, bapa guna khidmat pengamal perubatan Islam ‘scan’ kedudukan anak autisme

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang anak, dikecam pula! Lelaki ini ‘emosi teruk’ lihat nasib ibu Zayn, faham betapa sukar jaga anak autisme

Selepas mengetahui adiknya hilang, Alice yang ketika itu juga sedang menguruskan rumah bersama-sama terus mencari Wafi di kawasan persekitaran taman perumahan mereka.

Namun, usaha mencari adiknya gagal dan ibunya mengambil keputusan untuk menghubungi pihak polis bagi melaporkan kehilangan Wafi.

Tegas anak kedua daripada empat adik beradik itu, dia tidak menyalahkan adik bongsunya, Muaz memandangkan ini bukanlah kali pertama Wafi melarikan diri daripada rumah.

"Ayah saya sudah meninggal tiga tahun lalu jadi kami yang menjaga Wafi sepenuhnya. Kebetulan pula waktu kejadian tu mak saya demam jadi memang semua sibuk buat kerja rumah.

Saya bersyukur selepas tiga jam hilang, polis berjaya temukan adik dekat Denai Larian Sungai Perlis.

ALICE AFEEFA

"Kami semua tak sedar pagi tu Wafi keluar ikut pintu depan rumah yang tak berkunci. Selepas sejam Wafi tidak ditemui, saya war-warkan dalam group Facebook tentang kehilangan Wafi.

"Saya bersyukur selepas tiga jam hilang, polis berjaya temukan adik dekat Denai Larian Sungai Perlis. Keadaan dia pun baik saja tak ada sebarang luka atau kecederaan," ujar Alice menceritakan semula apa berlaku.

Tambah Alice, kehilangan adiknya kali ini lebih menakutkan buat dia sekeluarga apabila mengenangkan nasib malang Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin,6, kanak-kanak autisme yang dijumpai mati dibunuh sebelum ini.

Alice merupakan kakak kepada kanak-kanak autisme yang hilang.

Kata Alice, dia dan ahli keluarganya akan lebih berhati-hati dan peka terhadap keselamatan Wafi dengan sentiasa mengunci pintu kediaman mereka setiap masa.

"Saya memang ikuti perkembangan adik Zayn Rayyan memandangkan saya pun ada adik autisme non verbal juga. Memang takut sangat jika apa yang jadi dekat arwah tu berlaku kepada ahli keluarga sendiri.

"Saya sedih sangat mengenangkan perasaan keluarga Zayn sekarang. Saya berharap semoga kes arwah dapat diselesaikan dengan segera. Semoga kematiannya mendapat keadilan dan pesalah diambil tindakan dengan hukuman setimpal," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain