suria

Ada eMadani RM100, aktivis terkesan kisah anak dapat makan aiskrim! Minta hayati maksud syukur, bukan cuma tahu kritik

Orang ramai menggunakan peluang untuk berbelanja termasuk membahagiakan keluarga. -Gambar hiasan

RAMAI yang dapat menarik nafas lega apabila kerajaan mengumumkan bantuan menerusi pemberian eMadani sebanyak RM100.

Sejak tempoh penebusan bermula pada 4 Disember, golongan yang layak iaitu rakyat Malaysia berumur 21 tahun dan ke atas serta berpendapatan kurang dari RM100,000 setahun mula menggunakannya untuk berbelanja.

Premis perniagaan menyaksikan peningkatan pengunjung yang mahu menebus e-tunai itu termasuklah satu kisah yang diceritakan oleh seorang pekerja sebuah pasar raya

"Ada satu pasangan pelanggan beli beras 5 kilogram, telur dan aiskrim. Lepas sudah scan Touch 'n Go, saya ternampak baki e-wallet dalam RM44.50.

"Sedih juga bila tahu betapa berharganya RM100 ni pada mereka yang memerlukan," luah pekerja berkenaan di laman sosial.

Rakyat Malaysia menebus e-dompet. -Gambar hiasan/ YAP CHEE HONG/The Star

Lebih menarik perhatian adalah kegembiraan yang terpancar di setiap wajah keluarga itu selepas menerima bantuan daripada kerajaan.

"Senyum anaknya dapat makan aiskrim. Isteri pun ikut senyum, mungkin dapatlah masak di rumah nanti. Sang ayah nampak gembira dapat membahagiakan keluarganya.

"Jadi buat semua, bersyukur la kita di mana kaki kita berpijak. Datang je pasar raya kami kalau mahu membeli ye, kami sedia membantu," katanya.

Luahan pekerja pasar raya itu menjadi tular dan meraih perhatian masyarakat dan hantaran tersebut turut dikongsi aktivis masyarakat, Syed Azmi Alhabshi di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki hujung tahun, RM100 e-dompet boleh ditebus mulai 4 Disember

ARTIKEL BERKAITAN: Penerima bantuan ‘disiasat’ aktivis... Beli banyak ‘jajan’, beras tak pula dibeli - “Anak saya nangis berguling-guling”

Bercakap kepada mStar, Syed Azmi berkata, dia terdetik hati berkongsi pautan ikhlas pekerja pasar raya itu kerana sarat dengan mesej yang positif mengenai kesyukuran.

"Ia adalah pandangan yang saya rasa masyarakat terlepas pandang. Kita hidup di mana segalanya mengkritik dan memperlekehkan usaha.

"Tapi satu perenggan sebegini benar-benar boleh mengubah persepsi apakah maksud syukur yang sebenarnya. Ukuran kita bersyukur atau berterima kasih berbeza-beza ikut badan sendiri," katanya ketika dihubungi.

Orang awam membeli barangan keperluan. -Gambar hiasan/ IZZARAFI ALIAS/The Star

Menerusi bantuan sebanyak RM100 itu, jelas Syed Azmi, ia sebenarnya sudah dapat membahagiakan sesebuah keluarga bergantung cara wang tersebut dibelanjakan.

Sebagai contoh, katanya, pembelian secara beramai-ramai untuk tujuan aktiviti keluarga yang menggembirakan setiap orang.

"Kalau orang lain pergi bercuti atau makan tempat OOTD, tapi keluarga ini cukup dengan bawa seluruh ahlinya bersama membuat pilihan. Ini bukan sahaja ada duit belanja, tapi bijak mencari jalan membuat aktiviti bersama.

"Ada keluarga yang tiada kenderaan tapi boleh beli online juga memperoleh faedah kebahagiaan keluarga sebegini.

Ukuran kita bersyukur atau berterima kasih berbeza-beza ikut badan sendiri.

SYED AZMI ALHABSHI

AKTIVIS MASYARAKAT

"Apabila barang atau pesanan tu sampai, jadikan kejutan atau si ibu masak istimewa pada hari tu dengan menitipkan doa agar keadaan lagi baik, insyaAllah," katanya.

Bagi Syed Azmi, dia sebenarnya melihat setiap pemberian atau hadiah itu meskipun sedikit atau sekali sahaja (one-off) sebagai satu ujian bagaimana ia digunakan.

Membeli barangan keperluan untuk keluarga. -Gambar hiasan

Jelasnya, hasil akhirnya tetap pilihan masing-masing dalam menentukan sama ada ia menggembirakan atau tidak, sambil berkongsi pengalamannya mengenai penerima bantuan menerusi badan bukan kerajaan (NGO) yang dinaunginya.

"Saya pernah beri bantuan sebanyak RM50 tapi mashaAllah, keluarga yang memahami selalunya tetap gembira dan membuat pilihan pembelian yang bijak, apatah lagi usaha kerajaan seperti baru-baru ini (e-Tunai).

"Ada juga satu keluarga ini beli barang dapur, anak-anak ingat macam biasa je. Tapi barang tu mereka buat kuih masak sendiri kat rumah dan pergi piknik.

"Si ayah beri RM30 kepada adik-beradik empat orang untuk beli apa-apa kat tempat piknik. Tapi anak anak pilih belon gergasi dan kereta kawalan jauh dan mak ayah ambil banyak gambar dan mahu bingkaikan untuk dijadikan kenangan," ujarnya.

Menurut Kementerian Kewangan, orang ramai boleh menggunakan kredit RM100 eMADANI untuk sebarang transaksi secara fizikal di 1.8 juta peruncit atau perniagaan melalui e-dompet pilihan atau kod QR DuitNow.

Kredit e-tunai yang dijangka memanfaatkan lebih 10 juta rakyat Malaysia boleh digunakan untuk pembelian fizikal melalui penyedia perkhidmatan e-dompet terpilih iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch 'n Go eWallet.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain