suria

Arwah kemas barang memancing, kerap dengar bacaan al-Quran... Kakak cerita perjalanan akhir adik lelaki sebelum kemalangan

Kematian Ipit memberi kesan besar buat Syafida sekeluarga.

VIDEO memaparkan seorang wanita yang sedang mengusap jenazah adik lelakinya ketika dalam perjalanan untuk disemadikan meraih perhatian ramai di media sosial.

"Dulu kakak bangun pagi hantar awak pergi sekolah. Tapi kali ini kakak bangun pagi hantar awak pergi yang tak akan kembali," tulis Nur Syafida Muhamad Fairus pada kapsyen video.

Ketika dihubungi kepada mStar, Syafida, 26, berkata Allahyarham Muhamad Syafie, 21, atau Ipit meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kota Tinggi, Johor pada 17 Oktober lalu.

fida3

Arwah merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya.

Meskipun sudah dua bulan berlalu, Syafida masih menangisi pemergian itu, malah video tular penuh emosi yang dikongsi pada Rabu turut menzahirkan segala rasa yang terbuku di hatinya.

"Arwah adik saya kemalangan masa nak pergi kerja pada pagi 17 Oktober. Dia bawa motor, langgar dengan lori towing yang sedang u-turn. Arwah kerja dengan suami saya. Suami saya buka bengkel welding.

"Arwah meninggal pada hari yang sama. Dekat paru-paru arwah penuh darah. Dia tak boleh nak bernafas. Tulung rusuk tu mencucuk paru-paru. Kiranya apabila sampai hospital, doktor periksa dan sahkan dia telah tiada.

Esok dia nak pergi, hari ni dia siap kemas semua barang memancing simpan dalam kotak.

NUR SYAFIDA MUHAMAD FAIRUS

"Pinggang semua patah, kaki sampai pinggang. Nasib mata tak pecah. Kelopak mata dia terkoyak. Kemalangan memang kuat sebab dia berlanggar dengan lori towing," imbas pengusaha kedai kosmetik itu.

Menurut Syafida, pemergian itu cukup dirasai memandangkan arwah merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya.

"Kami ada enam beradik, saya anak sulung, arwah pula anak nombor empat. Arwah pula satu-satunya adik lelaki saya. Kami terlalu rapat, apabila hilangnya dia, memang terasa sangat. Dia adik yang banyak membantu kakak-kakaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu meninggal 30 minit selepas nikah, pengantin tabah urus jenazah! Sempat curi masa ke dewan demi hargai tetamu

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu maut kemalangan, anak trauma tengok jenazah selepas bedah siasat... Mimpi ditoreh pisau pun terasa pedih

"Separuh jiwa kami pergi 'ikut' dia. Terasa kosong apabila salah seorang daripada kami dah pergi. Hari-hari balik kerja mesti dia datang kedai jumpa kakak, jumpa anak saudaranya. Memang dia singgah setiap hari selepas balik kerja.

"Perubahan sangat dirasai lepas dia tiada. Sebab kami semua beradik jenis berkepit ke mana-mana. Lepas dia tiada, kami makin rapat. Hari-hari kena berkumpul untuk kurangkan rasa sedih tu," cerita Syafida lagi.

Imbas Wanita itu, arwah juga menunjukkan perubahan sebelum pemergiannya yang mana dia sering terperap di rumah dan kerap memasang alunan ayat suci al-Quran melalui telefon.

fida2

Syafida berkata dia rapat dengan arwah kerana dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga.

Malah, arwah juga pernah berseloroh dengan bapanya bahawa dia akan berhenti memancing, seolah-olah memberi bayangan bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya.

"Sebelum ini dia jarang ada kat rumah waktu malam sebab biasanya arwah turun ke sungai, naik bot pasang tajur (alat menangkap ikan). Dia juga memancing udang.

"Jadinya sebelum dia meninggal, kami pelik sebab dia ada kat rumah je malam tu. Memang dah beberapa malam dia ada kat rumah.

fida9

Syafida menzahirkan rasa rindu terhadap arwah dengan bingkisan video penuh emosi di TikTok.

"Beberapa bulan sebelum itu dia juga selalu buka surah di telefon, selalu dengar ceramah. Kawan kerja pun ramai cakap benda sama. Kawan-kawan kat jeti pun cakap macam tu.

"Dia juga ada cakap dekat ayah, Ipit last ni pergi memancing dengan ayah, lepas ni Ipit tak pergi lagi. Kami tak perasan hint tu. Esok dia nak pergi, hari ni dia siap kemas semua barang memancing dalam kotak," cerita Syafida lagi.

Video Syafida mengusap jenazah adiknya meraih lebih 130,000 tontonan di TikTok dan turut dihujani komen netizen, rata-ratanya menitipkan ucapan takziah buat dia sekeluarga.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

Aslam tak mampu poligami - Abby Abadi