suria

Suami tak mampu beli beras, hantar anak isteri balik rumah mentua... Paling sedih kawan-kawan pinjam RM400,000 tapi tak bayar

Satu keluarga diuji dengan kesusahan. -Gambar hiasan

KEHIDUPAN di dunia sememangnya penuh dengan ujian.

Walaupun dilimpahi kekayaan dan kesenangan, namun tidak mustahil seseorang itu boleh berdepan dengan kesulitan yang tidak disangka-sangka.

Pengalaman itu turut dikongsikan seorang pempengaruh media sosial mengenai rakannya yang meluahkan perasaan dalam satu pertemuan, baru-baru ini.

The struggle is real. Dia boleh dikatakan 'kencang' juga pendapatannya sebelum ni. Apabila duduk bersua muka, satu persatu dia cerita.

“Susah sangat sekarang. Sampai satu tahap beras habis nak beli tak ada duit. Nak sara anak isteri pun tak mampu,” kongsi Mohd Fadli Salleh di Facebook.

Seorang wanita tidak mampu menanggung kesedihan. -Gambar hiasan

Menurut Mohd Fadli yang juga seorang guru, kesulitan yang dialami menyebabkan rakannya itu terpaksa menghantar isteri dan anak ke rumah mentua.

Katanya lagi, mujur mentua rakannya memahami selepas diberi penjelasan mengenai situasi sebenar.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan muda mulakan hidup dengan RM200, tidur beratap bocor! Tak apa tak cukup makan, jangan anak sakit

ARTIKEL BERKAITAN: Suami jual motor nak berniaga air balang di bazar, baru mula bisnes dah sakit seminggu... isteri harap dapat balik modal sebelum raya

Bukan sekadar itu, rakannya juga pernah meminjam daripada pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

“Alhamdulillah, hutang Ah Long dah selesai dengan bantuan kawan dia. Kawan dia bagi pinjam duit memandangkan dia terdesak sangat.

“Simpanan semua licin. Apa barang berharga boleh jual dia jual. Kereta, motor semua dah jual. Jalan kaki dan guna pengangkutan awam je sekarang. Terduduk habis dia sekarang,” ujarnya lagi.

Seorang lelaki bermurah hati meminjamkan wang kepada rakan-rakan. -Gambar hiasan

Mengulas lanjut, Mohd Fadli berkata, rakan berkenaan kini cuba bangkit kembali dengan memperoleh semangat dan kekuatan tanpa berputus asa.

“Dia turun naik cari kerja sana sini. Yang pedih sikit aku dengar, masa dia agak senang ramai kawan-kawan pinjam duit. Dia kira jumlah sekitar RM400,000 juga.

“Cuma itulah, kawan-kawan dia sekarang pun semua tengah terduduk. Aku nak minta pun, tengok mereka semua sedang struggle juga sekarang.

Mereka pun tahu aku tengah teruk, tapi mereka tak mampu buat apa-apa nak bantu aku, cikgu," ujarnya mengimbas kembali perbualan bersama rakannya itu.

Kawan-kawan dia sekarang pun semua tengah terduduk.

MOHD FADLI SALLEH

Mengakui sedih melihat rakan-rakan dan kenalan diuji dengan zaman ‘kejatuhan’, Mohd Fadli mendoakan yang terbaik agar mereka kembali bangkit dengan lebih berjaya.

Daripada sisi lain, Mohd Fadli turut berkongsi nasihat kepada semua pihak supaya sentiasa bersikap prihatin terhadap keluarga dan rakan-rakan di sekeliling.

Mengakui tertekan dengan dugaan yang dialami. -Gambar hiasan / Freepik

“Kadang mereka ni daripada luar nampak senang, sebenarnya menanggung bebanan kewangan yang maha besar. Ada dua kawan aku (setakat ini) jujur beritahu, dia sampai tahap terlintas nak bunuh diri sebab tak tahu nak kendali masalah kewangan. Keliling orang cari minta hutang.

“Nasib masih ada iman tersisa, ingat hukum Islam haram bunuh diri, batal niat tu. Kata mereka, jika tiada larangan dalam agama, pasti mereka ambil jalan itu.

“Kita rasa kita susah, rupanya lebih ramai orang susah. Rupanya kawan-kawan dekat kita pun ada tengah struggle. Moga Allah permudah urusan mereka,” katanya.

Tambah Mohd Fadli lagi, sebaik-sebaiknya setiap individu perlu mempunyai simpanan sekurang-kurangnya tiga bulan gaji sebagai tabung kecemasan.

“Kalau gaji RM2,000, paling kurang kena ada RM6,000 simpanan kecemasan yang kalian takkan sentuh, takkan bagi orang pinjam. Guna untuk kecemasan kalian sahaja.

“Usaha dan terus usaha. Jangan patah semangat. Takkan selamanya hujan dan ribut taufan ini melanda, sampai suatu ketika yang tepat semuanya akan kembali baik-baik saja,” katanya di Facebook.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain