suria

Pakai selempang Palestin pun orang tak masuk... Lelaki simpati tengok staf termenung, restoran makanan segera kosong

Gerakan boikot jenama yang dikaitkan dengan Israel mendapat sokongan sebahagian rakyat negara ini. -Gambar hiasan

KETIKA ini rata-rata individu menyokong gerakan memboikot jenama yang dikaitkan mempunyai kaitan dengan Israel sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.

Jika ditelusuri di laman sosial, ramai juga yang berkongsi foto atau video restoran tertentu yang kelihatan lengang dan sepi tanpa pengunjung, didakwa sebagai tanda kejayaan gerakan boikot.

Namun daripada satu sisi lain, tindakan memboikot jenama tertentu ini dalam masa yang sama turut memberi kesan terhadap pekerja di premis berkenaan yang mungkin berdepan risiko diberhentikan kerja.

Menerusi satu hantaran di Facebook, seorang lelaki meluahkan rasa simpatinya selepas melihat sendiri situasi di sebuah restoran makanan segera yang menjadi sasaran gerakan boikot.

"Malam tadi ketika dalam perjalanan jauh di satu kawasan luar bandar, saya tiada pilihan lain dan terpaksa berhenti di sebuah restoran makanan segera.

"Pertamanya kerana tidak ada kedai makan lain yang sesuai di kawasan berkenaan. Saya tak larat lagi hendak pusing atau pergi jauh-jauh. Perut juga dah berkeroncong.

boikot 1

Rakyat Malaysia menyelar tindakan kejam Israel ke atas Palestin. -Gambar hiasan

"Keduanya, kerana saya hendak menggunakan kemudahan tandas yang selesa. Dan berdekatan kawasan berkenaan ada surau," tulisnya dalam hantaran yang berkenaan.

Menurut lelaki berkenaan, sebaik memasuki premis itu, dia terkejut apabila hanya terdapat staf di dalamnya tanpa ada seorang pun pelanggan.

Sempat berborak seketika sementara menunggu pesanan makanannya disiapkan, jawapan yang diberikan staf restoran berkenaan serta-merta membuatkannya tersentak.

ARTIKEL BERKAITAN: Setia hirup kopi jenama dikaitkan dengan Israel, wanita ini tolak gerakan boikot... Simpati nasib pekerja majoriti Melayu Muslim

ARTIKEL BERKAITAN: Suami berhenti kerja di restoran ‘fast food’ demi Palestin, percaya rezeki Allah... Tak sangka bisnes nasi lemak tepi jalan lumayan!

"Premis berkenaan kosong dan ada beberapa orang staf yang memakai selempang Palestin di atas bahu mereka. Saya memesan nasi lemak dan ayam goreng.

"Saya bertanya kepada staf berkenaan tentang gerakan boikot yang sedang rancak berjalan. Katanya, kesan agak besar, jualan jatuh lebih 70 peratus.

"Premis mereka beroperasi daripada pukul 12 tengah hari hingga 8 malam sahaja. Bilangan staf juga dikurangkan lebih daripada separuh. Saya mendengar luahan hati mereka dengan tekun.

"Timbul rasa simpati saya terhadap mereka semua. Pekerjaan dan pendapatan mereka terjejas. Rata-rata mereka adalah orang Melayu," kongsinya.

Hilang kerja dengan hilang nyawa mana lebih penting waktu sekarang ni?

NETIZEN

Tambah lelaki berkenaan, situasi yang berlaku ketika ini hampir menyamai waktu di mana negara berada di dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) beberapa tahun lalu yang menyaksikan kebanyakan perniagaan terjejas teruk.

"Malah ada yang masih belum pulih hingga kini. Hotel, stesen minyak, dan macam-macam lagi yang terjejas.

"Sekarang giliran mereka diuji... bersabarlah. Inilah asam garam dunia perniagaan," tulisnya.

Hantaran tersebut mengundang perhatian warga maya yang memberikan reaksi bercampur.

"Hilang kerja dengan hilang nyawa mana lebih penting waktu sekarang ni?

"Kesian juga dekat mereka tapi kesian saya lagi besar kepada penduduk Gaza. Hari-hari dikelilingi cebisan daging saudara dan kenalan, 24 jam dihujani derita tanpa henti.

komen

Reaksi bercampur daripada netizen.

"Rezeki Allah ni banyak. Kepada yang beragama Islam kerjalah di tempat yang jaminan penuh berkat," demikian sebahagian komen netizen.

Namun ada juga bersependapat dengan lelaki berkenaan, bersimpati dengan nasib pekerja premis yang terjejas.

"Betul, apabila difikir, kesian juga dekat adik-adik yang bekerja di sana... kebanyakan yang baru habis belajar dan kerja part time.

"Kesian anak-anak Melayu kita tak dapat cari rezeki. Semoga dipermudahkan segala urusan," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain