suria

Pelanggan minta nasi, sambal lebih tapi ‘buat muka’ dicaj RM1! Peniaga kecil hati, panggil datang semula gerai mahu pulangkan duit

Peniaga gerai perlu berdepan pelbagai ragam dan kerenah pelanggan. -Gambar hiasan

SUDAH jadi lumrah peniaga perlu berdepan dengan kerenah pelanggan yang pelbagai.

Kesabaran tahap tinggi pastinya diperlukan agar peniaga tidak bertindak mengikut emosi dalam urusan jual beli dengan pelanggan.

Melalui satu hantaran tular di laman Facebook, seorang peniaga berkongsi kisah yang membuatkan dirinya berasa terkilan dengan sikap seorang pelanggan.

Perniagaan di gerai pastinya tidak terlepas daripada pelbagai ujian. -Gambar hiasan

Menurut peniaga itu, pelanggan tersebut selamba meminta nasi tambah dan sambal belacan tetapi lokek untuk membuat bayaran.

"Tengah hari tadi ada datang seorang pelanggan, dia minta nasi ayam goreng kunyit. Sedang saya masukkan nasi dalam kotak, dia minta nasi untuk ditambah. Apabila dah ditambah, dia minta tambah lagi sikit.

"Apabila saya nak masukkan bungkusan nasi dia ke dalam plastik, dia minta juga sambal belacan ekstra satu bungkus. Jadi maksudnya dia minta tambah nasi dan sambal.

"Ketika tiba masa untuk bayar, saya minta caj tambahan RM1, tapi dia terus buat muka tak puas hati sampai tak menjawab pun ucapan terima kasih saya. Saya jadi terpinga-pinga, ibarat saya kena marah tanpa tahu punca," kata lelaki itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu tengok atap bocor, peniaga berputih mata roti canai terkena air hujan... Kejujuran dipuji, ramai doa murah rezeki

ARTIKEL BERKAITAN: Pakcik tua jual 25 jenis lauk dalam kereta, harga RM5 ramai tak tergamak nak bayar - “Berniaga ke sedekah ni?”

Tambahnya lagi, keuntungan yang diraih daripada perniagaan itu tidaklah seberapa dan dia sangat sedih kerana pelanggan itu tidak memahami situasi dirinya.

"Tiba-tiba hati saya jadi sebak, saya jual nasi ayam goreng kunyit RM5 je, terus terang cakap kalau sebelum kenaikan harga barang mentah ni, saya cuma untung antara 70 sen dan 80 sen je sebungkus.

"Tak banyak pun untung saya tu, lagi-lagi sekarang selepas harga barang dah naik, untung saya mungkin tinggal dalam 40 sen dan 50 sen macam tu je. Tapi saya tetap kekalkan harga nasi saya RM5 sebungkus.

Saya kalau minta apa-apa lebih dari peniaga memang saya akan bayar, tak senang hati nak minta free macam tu je.

WARGA MAYA

"Saya buat ni atas dasar berkongsi rezeki dengan pelanggan, walaupun harga beras dan bawang naik mencanak selain ada komitmen untuk bayar sewa kedai.

"Saya nak lihat pelanggan saya kenyang ketika mana ramai yang terpaksa ikat perut untuk berjimat cermat," luah peniaga tersebut.

Menitipkan pesanan, peniaga itu turut memohon maaf kepada pelanggan tersebut jika caj tambahan RM1 itu mengguris hatinya.

"Kepada pelanggan tadi, kalau disebabkan RM1 tu encik tak puas hati, saya mohon datang semula untuk saya gantikan keseluruhan harga nasi ayam goreng tu, anggap saya belanja encik RM6 tu.

"Sampai sekarang, masih melekat lagi dalam fikiran tentang kejadian tu, tak tenang hati saya ni.

Sebahagian komen warga maya.

"Dan untuk pelanggan yang lain, jika ada yang tak berpuas hati mungkin sebab barang jualan saya tak elok atau basi, saya mohon beritahu saya terus.

"Saya juga manusia biasa yang tidak lari dari membuat kesilapan, mohon maaf sekali lagi," ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya berpandangan pelanggan tidak wajar untuk mengambil kesempatan atas kemurahan hati peniaga.

"Saya kalau minta apa-apa lebih daripada peniaga memang saya akan bayar, tak senang hati nak minta free macam tu je. Hidup ni jangan kedekut sangat sampai ambil hak orang lain.

"Kalau setakat seorang minta lebih free kita boleh terima lagi tapi kalau dah ramai, mahu ruginya kita.

"Kalau ambil makanan ikut tekak sendiri tapi bayarnya tak mahu, mohon masak sendiri di rumah," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain