suria

Suami isteri berkerusi roda, kalau keluar berdua cari rezeki memang perlu bantuan - “Siapa tolong, moga pahala mereka seberat wheelchair ni”

Seri dan suaminya dibantu insan baik hati yang mengangkat kerusi roda ke dalam kereta.

"SYUKUR, Allah sentiasa mempertemukan kami dengan insan yang baik hati."

Demikian kata Seri Eriati, 44, ketika mengulas mengenai video di mana dia dan suaminya dibantu oleh seorang hamba Allah ketika mahu memasukkan kerusi roda ke dalam kereta.

Video penuh menyentuh hati itu sehingga kini meraih lebih 240,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang senang disapa sebagai Seri itu berkata, ketika itu dia dan suaminya berada di parkir Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur, selepas selesai menghadiri program Liga Usahawan OKU Malaysia pada 27 Julai lalu.

"Saya dan suami, Rahinor Nordin, 43, merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kedua-dua kami menggunakan kerusi roda. Apabila keluar berdua, memang terpaksa meminta bantuan orang sekeliling untuk angkat kerusi roda saya.

"Waktu itu, suami berpusing-pusing cari orang untuk minta bantuan. Alhamdulillah jumpa orang yang sudi tolong. Lazimnya selepas orang bantu masukkan kerusi roda saya, barulah suami akan masuk kereta.

oku 2

Pasangan ini menjual minyak urut untuk menjana pendapatan.

"Kerusi roda suami jenis yang boleh tanggal dan pasang, jadi selepas dia masuk kereta, dia akan tanggalkan roda dan lipat kemudian masukkan sendiri dalam kereta.

"Berbeza dengan kerusi roda saya jenis elektrik dan memang berat... sekitar 34 kilogram (kg). Kalau tak jumpa, kena tunggu juga sampai jumpa orang," ujarnya berseloroh.

Berkongsi serba sedikit mengenai kisahnya, Seri berkata dia tidak mampu berjalan selepas diserang demam panas pada 1995, iaitu ketika berusia 16 tahun.

Sementara itu, suaminya pula mengalami lumpuh dari paras pinggang ke bawah selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya pada 2003.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda OKU seronok diberi peluang kerja cuci kereta... nak cuba hidup normal, lari daripada manusia toksik!

ARTIKEL BERKAITAN: Beri tip ‘nilai paling tinggi’ masih tak dapat lenyapkan rasa bersalah, wanita ini jumpa sendiri rider OKU! - “Sabar satu jam Allah kirim rezeki sampai RM5,000”

Mendirikan rumah tangga hampir sembilan tahun lalu, pasangan ini tidak menjadikan 'tiket OKU' untuk mengharapkan bantuan semata-mata, sebaliknya mereka mengusahakan perniagaan minyak urut secara kecil-kecilan.

"Sebelum ini saya mencari rezeki dengan menjahit. Kebetulan ibu mentua memang pandai buat minyak urut. Bermula jual kepada orang terdekat, saya dan suami sepakat untuk komersialkan minyak urut tersebut.

oku 3

Kenangan manis ketika menunaikan ibadah umrah beberapa tahun lalu.

"Kami mula sertai kursus di bawah program Selangor Youth Community pada September tahun lalu dan menerima geran perniagaan. Daripada geran yang diterima itu, minyak urut yang diberi nama Minyak Atuk dihantar ke Sirim sebelum dipasarkan.

"Buat masa ini, saya masih lagi belajar bidang marketing supaya Minyak Atuk dapat dipasarkan dengan meluas. Selain minyak urut, saya juga jual kopi campuran dan bertindak sebagai stokis," ujarnya yang menetap di Setapak, Kuala Lumpur.

Saya selalu berdoa moga orang yang bantu kami, yang tolong angkat kerusi roda berat tu, pahala mereka pun seberat itu malah berlipat kali ganda.

SERI ERIATI

Diberi tubuh yang sihat walaupun dengan kudrat yang terhad, Seri berkata dia dan suaminya bersyukur kerana mampu berdikari untuk mencari pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Kadang orang mungkin tengok kami, kenapa nak keluar bekerja... kenapa itu, kenapa ini? Saya sendiri pun bila nak keluar, banyak kali fikir... nanti siapa nak tolong angkat kerusi roda, macam mana nak berurusan dan lain-lain.

oku 5

Menumpang kasih anak-anak saudara.

"Namun bila fikir, kami harus mencari rezeki... itulah yang menjadi kekuatan kami. OKU tidak bermakna tak boleh berdikari. Kita juga perlu hidup seperti orang lain.

"Selain itu, sering dipertemukan dengan insan baik hati juga adalah salah satu kekuatan kami juga. Kadang-kadang tak sempat bersuara, ada yang dah offer nak bantu. Nak berurusan pun tak ada masalah sebab OKU diutamakan dan tak perlu berbaris.

"Saya selalu berdoa moga orang yang bantu kami, yang tolong angkat kerusi roda berat tu, pahala mereka pun seberat itu malah berlipat kali ganda," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain