suria

“Lipas tu comel” - Bapa istighfar panjang, pening kepala layan ‘drama’ anak kedua... Meraung sakan serangga perosak dibunuh depan mata

Seorang kanak-kanak menangis melihat seekor anak lipas mati dibunuh bapanya.

MENANGIS dan sedih atas kematian haiwan peliharaan seperti kucing adalah perkara biasa.

Namun seorang kanak-kanak lelaki mencuri tumpuan apabila dia menangis teresak-esak kerana menyaksikan seekor lipas mati di depan mata.

“Kasihan lipas tu... ia tak kacau pun,” kata kanak-kanak itu yang merengek, menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman sosial sehingga mengundang tawa netizen.

Ibu kepada kanak-kanak comel itu, Nur Aqilah Yusof mengakui dia sendiri terkejut dengan reaksi anak lelakinya, Amzar Dzulqarnain Ahmad Zaki yang berusia empat tahun.

Menurutnya, ketika kejadian, suaminya meminta dua anaknya mandi sebelum si kakak yang berusia lima tahun memaklumkan terdapat seekor anak lipas di hadapan bilik air.

“Suami ‘pukul’ lipas tu supaya tak kacau anak-anak. Tapi anak lelaki saya cuba protect tak nak benarkan lipas tu dipukul.

“Kalau semut tak apa dibiarkan, tapi ini lipas yang kotor dan serangga perosak. Apabila nampak lipas mati dipukul bapa dia, itu yang menangis kuat sangat,” katanya kepada mStar.

Amzar Dzulqarnain Ahmad Zaki seorang kanak-kanak manja dan petah bercakap.

Mesra disapa Aqilah, ibu berusia 31 tahun itu mendedahkan anak bongsu daripada dua beradik itu sememangnya manja dan beremosi.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu seram sejuk tiba-tiba anak sulung umur 3 tahun meraung panggil kakak... “Mummy belakang kamera dah mengucap panjang”

ARTIKEL BERKAITAN: “Maaf jika delay sebab anak saya” - Pesawat dah nak terbang semula si kecil masih enggan turun, mujur ada pramugara larat dukung keluar

“Dia ni memang emotional, kalau dia buat salah dan kita marah dengan meninggikan suara sikit pun dia dah mudah terasa dan menangis.

“Ini pertama kali dia menangis kerana seekor anak lipas. Dalam 15 minit juga drama air mata sebelum nak pergi mandi tu, saya dan suami cuba pujuk dan tenangkan dia,” ujarnya yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang.

Aqilah (dua, kiri) bersama suami (kanan) dan anak-anak.

Menyifatkan anaknya yang manja dengan panggilan ‘adik’ itu sebagai petah bercakap, Aqilah dan suami turut terkejut apabila anak lelakinya itu menganggap lipas tersebut sebagai comel.

“Dia cakap lipas tu comel macam baby. Budak-budak kan... tambahan pula dia hanya tengok anak lipas. Belum lagi lipas dewasa yang suka datang dekat dengan orang.

“Lebih-lebih lagi lipas yang terbang. Macam orang bergurau, kalau lipas dah mula terbang bukan lagi lipas, macam-macam nama orang sebut sebab geram,” ujarnya secara berseloroh.

Dia cakap lipas tu comel macam baby... tambahan pula dia hanya tengok anak lipas.

NUR AQILAH YUSOF

IBU

Walau bagaimanapun, Aqilah yang merupakan eksekutif di sebuah syarikat itu tidak memaksa anak lelakinya yang juga aktif dan lasak supaya membenci lipas.

“Dia kasihan dengan lipas sebab tak pernah berada situasi ia terbang atau datang pada kita yang membuatkan kita takut dan geli. Macam di rumah ni, saya yang paling takut dengan lipas.

“Dia masih kecil dan tak faham, kami maklumkan pada dia yang lipas selalu ada di tempat kotor seperti tandas dan longkang,” ujarnya lagi.

Aksi comel anak kedua.

Mengulas lanjut, Aqilah turut membiarkan proses penerimaan dan tanggapan anaknya terhadap serangga perosak itu berlaku secara semula jadi.

“Biar dia sendiri hadap situasi itu. Nanti dia dah besar atau jumpa lipas besar baru dia tahu kenapa ramai orang takut atau geli dengan serangga tu.

“Tiada masalah kalau hatinya pada lipas berubah. Dia boleh belajar daripada pengalaman,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain