suria

Ubat ayah berselerak, pernah tersalah makan... Anak ahli farmasi dapat idea DIY rak mini, puas hati buat label tulisan besar-besar

Ibu bapa ini bertuah apabila anak mereka menyediakan kotak organiser untuk ubat-ubatan.

KEADAAN mudah lupa sering berlaku seiring dengan peningkatan usia terutama dalam kalangan warga emas.

Lebih-lebih lagi kehidupan harian mereka yang bergantung kepada ubat sepenuhnya.

Mana hendak ingat semua jenis ubat yang mempunyai nama-nama generik, itu belum lagi kekerapan dan berapa dos yang perlu diambil setiap hari.

Seorang anak meraih perhatian netizen apabila berkongsi video menyediakan bekas ubat seperti sebuah kabinet dengan mengasingkan ubat dengan cara yang sangat teratur.

Rak yang turut ditampal wajah ceria si bapa mengandungi laci bertingkat, setiap satunya ditampal dengan label yang tertera jenis, sukatan dan penyakit serta kegunaannya seperti ubat untuk darah tinggi, tahan sakit dan urat saraf.

Berkongsi cerita, Siti Suhailah Saffinee memaklumkan bapanya yang berusia 60 tahun baru saja didiagnosis penyakit kanser prostat tahap empat, pada tahun ini.

“Banyak ubat yang ayah perlu makan bagi menjaga kesihatan dia. Ayah boleh ambil ubat sendiri di klinik dan saya memantau pengambilan ubat dari semasa ke semasa.

“Saya dan suami pula tinggal dekat dengan mak ayah di Sungai Petani, Kedah, jadi lebih mudah. Tapi baru-baru ini saya dapat berita akan dihantar bertugas di Kundasang, Sabah.

“Sedih ayah hidap kanser masih lagi terasa, makin bertambah apabila memikirkan saya terpaksa berjauhan dengan mereka terutama ayah yang sakit,” katanya kepada mStar.

Siti Suhailah (kanan) dan suami (dua, kanan) bersama ibu bapanya.

Siti Suhailah berkata kebimbangannya terhadap keadaan bapa, Saffinee Sulaiman meningkat selepas satu insiden kesilapan mengambil ubat.

“Kadang-kadang ayah suka simpan semua ubat dalam satu beg plastik. Pernah suatu hari ayah ingatkan ubat darah tinggi, tapi dia tersilap dengan memakan ubat tahan sakit.

“Pertama kali berlaku tapi sudah cukup membimbangkan lebih-lebih lagi saya bakal berjauhan dengan ayah mulai bulan depan,” ujarnya yang mesra disapa Suhi.

Setiap rak dilabelkan nama, jenis, sukatan dan kegunaan ubat.

Sebagai jalan penyelesaian, anak keempat daripada lima beradik itu membeli satu bekas besar yang terdiri daripada banyak rak untuk dijadikan sebagai kotak 'organiser’ bagi penyimpanan ubat-ubatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda korbankan kerjaya di KL, sanggup balik kampung ‘kerja’ bertahun tanpa cuti jaga bapa ada penyakit 3 serangkai, bermacam sakit lain

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini korbankan kerja dan impian demi jaga ibu sakit di kampung, tapi bapa pergi dulu selepas buat 3 permintaan - “Terakhir ayah minta tidur sebelah mak”

“Saya buat label dan asingkan bagi memudahkan stok ubat untuk ayah. Saya mahu didik ayah untuk memudahkan dia untuk melakukannya sendiri dengan ketiadaan saya di rumah.

“Mula-mula nampak ego ayah, dia cakap tak payahlah buat. Tapi sekarang, setiap pagi dia sendiri pergi periksa kotak ubat tu,” katanya mengenai bapanya yang merupakan pesara kerajaan.

ubat ayah 5

Siti Suhailah mahu yang terbaik untuk ibu bapanya.

Siti Suhailah yang merupakan ahli farmasi itu turut memberitahu bahawa ia bukan sekadar mengenai bapanya tetapi kesedaran awam khususnya mereka yang mempunyai ibu bapa yang lanjut usia dan bergantung kepada keperluan ubat-ubatan setiap hari.

“Kesedaran ubat ni penting bagi memastikan mak ayah mengambil ubat mengikut jadual dan dos yang ditetapkan. Yang tak makan ubat dan dos berlebihan itu perlu dielakkan.

Sekarang ni ayah lebih berdisiplin untuk makan ubat, Alhamdullah lega sikit apabila nak bertugas ke Sabah nanti.

SITI SUHAILAH SAFFINEE

“Ayah ni dulu sebelum diagnos kanser dia tak begitu percaya pada pengambilan ubat-ubatan. Sekarang ni ayah lebih berdisiplin untuk makan ubat, Alhamdullah lega sikit apabila nak bertugas ke Sabah ni.

“Lebih mengejutkan apabila netizen pun ramai tanya tentang 'beg kuning' di TikTok sebab mereka tertarik dengan kotak ubat yang saya beli untuk ayah,” katanya.

Selain itu, Siti Suhailah berkata kaedah tersebut dapat memupuk kesedaran kepada pesakit dan ahli keluarga untuk mengetahui setiap jenis ubat yang diambil serta kegunaannya.

Siti Suhailah (hadapan) bersama keluarga.

“Ia juga memudahkan doktor dan ahli farmasi mengetahui tentang ubat yang diambil jika pesakit berada di dalam wad atau di kaunter farmasi pesakit. Kaedah ini membuatkan pesakit boleh tahu nama ubat dan indikasinya.

“Secara tidak langsung, ia dapat mengurangkan pembaziran ubat-ubatan disebabkan pesakit mengambil stok ubat tapi tidak makan yang mungkin disebabkan faktor kurang kesedaran, terlalu banyak jenis ubat, tiada susun atur ubat yang betul di rumah atau ubat-ubatan bercampur.

“Kotak organiser yang dilabel mengikut warna, indikasi dan nama ubat boleh membantu pesakit dan ahli keluarga untuk mengenali ubat lebih tepat bukan sekadar berdasarkan bentuk dan warna saja kerana tindakan pengulangan dan konsisten,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain