suria

Penerima bantuan tak lupa jasa cikgu, mesej ‘update’ kejayaan anak selepas 5 tahun... Seronok dapat surat tawaran UiTM

Mohd Fadli turut tumpang gembira dengan kejayaan anak wanita berkenaan. -Gambar Facebook Mohd Fadli

HUTANG emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.

Demikian ungkapan peribahasa yang membawa maksud, betapa budi baik seseorang tetap akan dikenang sampai bila-bila tidak kira ia kecil ataupun besar.

Begitulah juga dengan kisah yang dikongsikan oleh seorang guru yang juga aktivis kebajikan masyarakat, Mohd Fadli Salleh.

Menerusi satu hantaran di Facebook, guru tersebut tidak menyangka dia menerima kiriman mesej daripada seorang wanita berstatus ibu tunggal yang pernah dibantunya kira-kira lima tahun lalu.

Wanita tersebut menzahirkan ucapan terima kasih kerana anaknya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading, berkat bantuan Mohd Fadli sebelum ini.

CIKGU 2

Mohd Fadli (depan) merupakan antara penggerak utama Dana Kita.

"Assalamualaikum cikgu. Masih ingat Kak Latifah kuih siput, yang pernah cikgu bantu anaknya beli kelengkapan masuk asrama?

"Terima kasih pernah bantu kami. Moga Allah rahmati cikgu... lindungi cikgu selalu," demikian mesej yang dihantarnya pada 11 Jun lalu sebagaimana yang dikongsikan Mohd Fadli di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu siasat murid tahun 6 kerap ponteng, terkejut tengok kena jaga ibu strok di rumah! Kakak, abang dah lama berhenti sekolah kerja di mall

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak jadi kaya saya walau terjual 1,000 pek sekali pun” - Guru tolak komisen RM1, ikhlas tolong promosi cendawan sisir

Wanita yang membahasakan dirinya sebagai Kak Latifah turut menghantar salinan keputusan peperiksaan anaknya buat tatapan guru berkenaan.

Dalam mesej kedua pada 8 Julai lalu, wanita tersebut sekali lagi menghantar mesej kepada Mohd Fadli, memaklumkan anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi kursus Diploma Teknologi Seni Reka Perindustrian.

"Kak Latifah ni aku bantu pada tahun 2018. Last berhubung pada 2019. Selepas empat tahun, dia hubungi aku lagi bagitahu result anaknya dalam SPM.

"Alhamdulillah, banyak subjek cemerlang. Hari ni (8 Julai) Kak Latifah hubungi lagi bagitahu anaknya berjaya masuk UiTM. Tahniah buat akak dan anak," tulisnya dalam hantaran di Facebook.

Hebat Kak Latifah ni. Sekecil budi orang dia ingat dan tak sesekali lupa. Padahal bantuan aku kecil je. Itu pun lima tahun lepas.

MOHD FADLI SALLEH

Menurut Mohd Fadli, Kak Latifah gigih mencari rezeki dengan menjual kuih siput untuk menyara anak-anaknya bersendirian.

"Banyak cabaran dia hadap sendirian dalam membesarkan anak-anak dan meneruskan kehidupan. Syukur, berkat ketabahan semua pengorbanan itu berbaloi.

"Insya-Allah anaknya akan berjaya menggenggam ijazah seterusnya mengubah nasib keluarga mereka.

"Hebat Kak Latifah ni. Sekecil budi orang dia ingat dan tak sesekali lupa. Padahal bantuan aku kecil je. Itu pun lima tahun lepas," tulis Mohd Fadli lagi.

Turut tumpang gembira dengan kejayaan anak yang pernah dibantunya itu, Mohd Fadli berkata dia berniat untuk menghadiahkan sebuah komputer riba untuk kemudahan pembelajaran remaja berkenaan di universiti kelak.

KOMEN CIKGU

Sebahagian daripada komen netizen yang turut sama tumpang gembira dengan kejayaan anak Kak Latifah.

Untuk rekod, Mohd Fadli yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur merupakan aktivis badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (Dana Kita) yang aktif menyalurkan sumbangan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan tahniah di atas kejayaan ibu tunggal berkenaan yang mendidik anaknya hingga menjejakkan kaki ke menara gading.

"Alhamdulillah saya pula yang rasa sebak rasa nak nangis. Semoga adik terus maju jaya dan dipermudahkan segala urusannya dan ibunya.

"Insya-Allah dia akan berjaya dengan cemerlang di IPT nanti. Berkat usaha dia dan ibunya.

"Semoga dipermudahkan urusan adik tu untuk sambung belajar dan sentiasa dilimpahkan rezeki kepada cikgu sekeluarga," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain