suria

Nenek Kelantan masih berbisa! Main TikTok terus jumpa jodoh pemuda Sabah pandai mengurut... Bahagia sulam cinta beza usia 35 tahun

Adam dan isteri mendirikan rumah tangga pada 9 September 2022.

RAMAI yang tidak menyangka pasangan ini hidup bahagia sebagai pasangan suami isteri.

Manakan tidak, perbezaan usia antara mereka begitu ketara dengan si suami berusia 28 tahun dan isterinya pula berumur 62 tahun.

Meskipun jarak usia 35 tahun, namun pasangan ini selesa berkongsi kisah mereka secara terbuka sehingga video yang dimuat naik di laman TikTok menjadi tular.

Berkongsi cerita kepada mStar, pemuda bernama Mohammad Amin Jumdail itu berkata, dia mula mengenali isterinya menerusi TikTok, pada Oktober 2021.

Lebih dikenali sebagai Adam, dia mengakui pada mulanya sekadar mahu berkenalan dengan wanita yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu.

"Bermula daripada sekadar nak berkawan saja, lama-kelamaan perasaan sayang dan rindu timbul dalam diri saya. Sukar untuk saya gambarkan perasaan itu.

"Dia bukan usahawan ternama, orangnya hanya biasa-biasa. Saya percaya ini adalah ketentuan Allah yang menetapkan dia adalah jodoh saya," katanya kepada mStar.

Adam (kanan) dan isteri mula mengenali di TikTok.

Mengimbas kembali detik perkenalan, anak kelahiran Semporna, Sabah itu mengambil langkah dengan berkunjung ke Semenanjung untuk bertemu wanita itu buat pertama kali.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai sangka wanita ini bermadu lagi, rela suami kahwin tiga! Katanya nak nikah 4 pun boleh, tapi ini cerita sebenar

ARTIKEL BERKAITAN: "Ingatkan mak dengan anak!" - Abang bomba pilih wanita beza 20 tahun jadi isteri, ibu pun berkenan siap bagi lampu hijau!

"Saya tiba di Semenanjung pada Disember 2021, tapi saya cari modal dulu dengan bekerja sebagai tukang urut di Johor.

"Sebulan kemudian iaitu pada hari jadi saya iaitu 10 Januari 2022 barulah saya pergi ke Kelantan untuk bertemu dengannya," katanya yang sebelum ini hanya berhubung menerusi mesej, panggilan telefon serta video kerana masing-masing tinggal berjauhan.

Isteri Adam bersama anak-anaknya.

Menurut anak kelapan daripada 10 beradik itu, dia bersyukur kerana kedua-dua keluarga merestui hubungan mereka tanpa mengira perbezaan usia.

Sementara itu, isteri Adam iaitu Rokiah Samat berkata, dia sudah mempunyai seramai 11 anak, 22 cucu dan seorang cicit.

"Anak saya yang sulung berusia 45 tahun dan bongsu pula 18 tahun. Saya sudah berusia 62 tahun, tapi rasa macam 40 tahun. Alhamdulillah saya masih sihat.

"Kenapa saya terima dia? Sebab dia baik, sangat bertanggungjawab dan begitu caring dengan saya. Paling penting dia juga penyabar," katanya yang merupakan suri rumah sepenuh masa.

Rokiah yang sebelum ini bekerja sendiri berkata, dia telah berpisah dengan suaminya terdahulu sebelum membuat keputusan untuk berkahwin semula.

Kedua-dua mereka mengikat tali pertunangan pada 6 Jun 2022 sebelum bernikah pada 9 September tahun yang sama.

Adam (tengah, kopiah putih) bersama isteri dan menantu.

Sementara itu, Adam yang juga merupakan ejen menjual produk kecantikan dan kesihatan menegaskan tiada niat tersembunyi mengenai keputusannya memperisterikan wanita itu.

"Allah dah tentukan hati saya di Kelantan, beristerikan orang sini. Alhamdulillah, dia menjadi 'pelengkap' tulang rusuk saya. Walaupun perbezaan usia, kehidupan kami bahagia dan aman damai.

Saya percaya ini adalah ketentuan Allah yang menetapkan dia adalah jodoh saya.

MOHAMMAD AMIN JUMDAIL

"Saya bersyukur kerana mempunyai isteri yang caring dan sempurna di mata saya daripada segala segi.

"Isteri juga pandai memasak, saya paling suka masakannya kari kepala ikan... itu nombor satu," katanya sambil menambah dia dan isteri berkongsi hobi yang sama iaitu memancing dan berkebun.

Adam (kiri) dan isteri bahagia meskipun perbezaan usia.

Dalam pada itu, Adam dan isteri berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan mendoakan kebahagiaan rumah tangga mereka.

"Kunci kebahagiaan hubungan kami adalah persefahaman dan sependapat. Alhamdulillah, dia dan anak-anaknya menerima saya seadanya, dan saya menerima dia sekeluarga dengan ikhlas," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain