suria

Resume viral di Twitter, siswa UiTM tak menang tangan pilih tawaran kerja... Mahu bantu keluarga selepas ayah hidap kanser darah

Erry dihujani tawaran kerja selepas dia memuat naik resume ke laman Twitter.

REZEKI tak disangka-sangka!

Begitulah kisahnya mengenai seorang pelajar yang dihujani tawaran kerja sambilan selepas dia memuat naik resume miliknya ke laman Twitter pada Jumaat.

Menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Mohamad Hairie Yaacob, 22, berkata dia mahu bekerja demi meringankan beban keluarganya.

erry3

Resume yang dikongsi oleh Erry di laman Twitter.

"Saya cari kerja sambilan untuk tampung perbelanjaan. Saya kini berada di semester empat. Ketika semester dua, ayah saya didiagnos kanser darah. Duit banyak digunakan untuk ayah.

"Saya tak mahu susahkan keluarga. Keadaan ayah makin okey, cuma dia kini terlantar di rumah, dia mengalami lumpuh separuh badan bahagian bawah," ujar pelajar bidang Komunikasi Massa itu.

Bercerita lanjut kepada mStar, dia yang senang disapa Erry mengakui tidak menyangka ciapan berkenaan akan meraih perhatian ramai warga Twitter.

DM saya banjir dengan mesej, selain tawaran kerja sambilan, ada yang tawarkan peluang intern.

MOHAMAD HAIRIE YAACOB

Selain menerima kata-kata semangat daripada netizen, Erry turut ditawarkan peluang kerja serta latihan industri oleh beberapa syarikat dan individu perseorangan.

"Saya dah cuba kongsi resume di Facebook, tapi tiada respons. Twitter sebenarnya opsyen terakhir saya. Saya sekadar cuba, tak sangka ada rezeki di Twitter. Tahu-tahu dah blow up, ramai orang direct message (DM).

"DM saya dibanjiri dengan mesej. Dapat beberapa offer. Selain tawaran kerja sambilan, ada yang tawarkan untuk intern. Setakat ini saya belum buat apa-apa keputusan. Saya nak pilih yang sesuai dengan jadual pengajian saya," ujar Erry yang berasal dari Pasir Gudang, Johor.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jatuh sekali, aku bangun tiga kali” - Tak sia-sia promo diri di media sosial, lelaki ini terus ‘dirisik’ 8 syarikat

ARTIKEL BERKAITAN: Aduh! Yayang buat kerja ‘tak clean’, nak mohon pekerjaan kantoi dengan HR pakwe tolong buat resume

Menurut anak kelima daripada enam beradik itu, dia juga pernah bekerja secara sambilan ketika mengikuti pengajian diploma di Melaka, beberapa tahun lalu.

Tambahnya, dia tidak gentar untuk bekerja dan menganggap pengalaman ketika zaman belajar sebagai persediaan untuk melangkah ke dunia sebenar tidak lama lagi.

"Saya pernah buat kerja sambilan ketika diploma. Apabila kita dah terbiasa kerja, kita akan faham konsep kerja. Tahu hierarki dalam kerja, skop kerja dan sebagainya.

erry2

Erry pernah bekerja secara sambilan ketika diploma.

"Ini merupakan persediaan sebelum saya tamat belajar dan betul-betul masuk alam kerja. Kepada pelajar yang nak buat kerja sambilan, kita kena tahu bahagikan masa. Kena yakin bahawa kita anda ketahanan diri," ujarnya lagi.

Akhir bicara, Erry turut menitipkan ucapan terima kasih kepada semua warga Twitter yang memberikan sokongan buatnya sehingga dia berjaya menerima beberapa tawaran kerja.

"Biasanya orang condemn Twitter. Orang kata Twitter ni toksik. Tapi saya melalui pengalaman berbeza. Saya tengok orang saling membantu. Jika kerja yang ditawarkan mereka tak dapat pada saya, mana tahu ia rezeki untuk orang lain juga.

"Terima kasih banyak-banyak sebab sudi kongsi rezeki. Ramai yang membantu walaupun tak kenal antara satu sama lain. Moga masyarakat kita terus harmoni," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain