suria

Duduk di kampung kena kreatif, bapa sembur air sejukkan atap zink... Guna kaedah siram kebun sayur - “Nak pasang aircond mahal”

Bapa Sharah kreatif mencipta sendiri alat pancuran air untuk menyejukkan bumbung rumah mereka.

SEPERTI yang ramai sedia maklum, negara kini dilanda fenomena gelombang haba, iaitu satu tempoh suhu tinggi luar biasa yang melebihi suhu maksimum purata harian.

Disebabkan cuaca panas melampau itu, ada kalanya suhu harian yang direkodkan melebihi 37 darjah Celsius.

Sememangnya apa yang sedang melanda negara ketika ini sangat merengsakan hingga orang ramai terpaksa bergantung kepada alat pendingin hawa untuk menyejukkan ruang agar lebih selesa.

Namun seorang bapa ini tampil dengan alternatif yang sangat kreatif untuk menyejukkan kediamannya, iaitu dengan mencipta alat pancuran air di bumbung.

Video yang dikongsikan oleh anak perempuannya di laman TikTok mengundang perhatian ramai dengan rata-rata warga maya kagum dengan usaha lelaki berkenaan demi memberi keselesaan kepada keluarganya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tukang jahit otai masih ligat menjahit, anak risau bapa penat selepas viral... larang ambil banyak tempahan

ARTIKEL BERKAITAN: Anak terharu tengok bapa buat sesuatu pada tilam jualannya, pernah ‘angkut’ ke rumah kawan sebab nak tunjuk jahitan

Berkongsi cerita dengan mStar, Ahmad Tarmizi Karjah berkata, idea untuk membuat pancuran air di bumbung itu diinspirasikan daripada konsep yang digunakan di kebanyakan kebun tanaman.

"Sekarang ni memang musim panas melampau walaupun duduk dalam rumah. Rumah saya pula rumah kampung, atap zink... lagilah terasa bahangnya.

"Jadi timbullah idea untuk sejukkan bumbung dengan gunakan pancuran air. Selalu orang buat dekat projek sayur untuk siram tanaman. Saya pun cuba buat sendiri.

"Alat-alat yang digunakan pun sama macam kebun tanaman yang orang selalu guna," ujar lelaki berusia 57 tahun ini.

PANCURAN 2

Alatan yang digunakan untuk membuat pancuran air tidak melebihi RM100.

Menurut Ahmad Tarmizi yang juga bapa kepada enam cahaya mata, kerja-kerja membuat pancuran itu dilakukan sendiri berbekalkan sedikit kemahiran dalam bidang pertukangan.

Malah ujarnya yang menetap di Kampung Bukit Pampong, Raub, Pahang, kos keseluruhan untuk membeli peralatan membuat pancuran air itu tidak melebihi RM100.

"Saya ada juga guna barang-barang lama yang sedia ada, yang pancuran tu beli dekat kedai hardware. Kalau paip utama dekat je dengan rumah, hanya sekitar 10 meter batang paip diperlukan.

"Kalau semua barang cukup, tak lama pun nak buat. Sekitar satu jam saja. Tak susah mana pun nak buat.

"Alhamdulillah memang berkesan, dalam rumah tak panas membahang," ujarnya lagi.

Nak pasang aircond mahal pula, inilah alternatif yang menjimatkan... tapi bil air mungkin naik sikit.

AHMAD TARMIZI

Menyedari mungkin ramai yang membangkitkan isu kenaikan bil air, Ahmad Tarmizi berkata, tidak dinafikan akan berlaku peningkatan namun ia merupakan alternatif yang menjimatkan bagi mereka yang tidak mempunyai pendingin hawa.

"Nak pasang aircond mahal pula. Jadi inilah alternatif yang menjimatkan. Bil air tu mungkin akan naik sikit. Tapi ikut penggunaan juga.

"Kita boleh buka dan tutup pancuran tu bila-bila masa saja. Ikut keperluan... contohnya, buka ketika waktu tengah hari rembang saja. Air yang turun, kita boleh tadah untuk siram pokok pula," jelasnya.

Sementara itu, anak perempuan Ahmad Tarmizi yang berkongsi video pancuran air di TikTok berkata, dia sama sekali tidak menyangka perkongsian tersebut mengundang perhatian ramai sehingga meraih lebih 688,000 jumlah tontonan.

Menurut Sharah Khairiah, dia banyak menerima komen dan juga mesej warga maya yang bertanyakan tentang kos dan cara membuat pancuran air tersebut.

PANCURAN 3

Antara komen netizen yang berkongsi kaedah yang sama di kediaman masing-masing.

"Kalau ikutkan, bukan saya seorang saja yang share. Ada beberapa orang juga share di TikTok tentang pancuran air DIY di rumah masing-masing.

"Ramai yang minta tutorial, tanya beli barang dekat mana, macam mana buat. Saya ada terangkan juga serba sedikit. Tentang tutorial tu, insyaAllah ikut kelapangan waktu ayah.

"Tapi dalam banyak-banyak komen, ada satu yang membuatkan saya terharu. Dia komen 'nak pinjam ayah boleh?'.

"Ayah saya memang seorang yang bekerja keras dan sanggup buat apa saja demi keluarga. Rumah kami pun dari kayu, dia yang renovate sikit demi sikit agar lebih selesa.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang memberikan komen-komen positif dan memuji ayah," kata anak ketiga daripada enam adik beradik ini lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain