suria

Kawan-kawan cucu ‘masuk air’, riuh-rendah datang beraya rumah nenek... Tapi si baju biru paling suka buat perangai!

Gelagat kawan Eylla (baju biru) ketika beraya ke rumah neneknya.

RUMAH nenek yang biasanya sunyi akhirnya bertukar riuh-rendah dengan kehadiran ramai tetamu yang datang beraya.

Menariknya, mereka yang datang bukanlah teman seusia atau saudara-mara, sebalik merupakan rakan-rakan kepada cucunya.

"Nenek telefon aku suruh kawan aku datang beraya rumah dia," demikian menurut perkongsian seorang wanita di TikTok.

Menerusi video yang ditonton lebih 1.8 juta tontonan di TikTok itu, kelihatan sekumpulan wanita datang beraya ke rumah seorang warga emas hingga menggamatkan suasana dengan gelagat masing-masing.

Berkongsi cerita kepada mStar, cucu warga emas itu, Nur Nabillah Abdullah berkata, ketiga-tiga rakannya datang beraya di rumahnya di Kampung Sungai Ramai Dalam di Kajang, Selangor, pada Khamis sempena cuti Hari Wesak.

Kata Nabillah yang mesra disapa Eylla, ketika sesi beraya itu neneknya, Jamaliah Saod, 77, turut datang ke rumahnya.

Eylla (tengah) bersama dua rakannya yang datang beraya ke rumah nenek.

"Masa kami makan-makan di rumah nenek pun sampai. Kawan-kawan pula suka menyakat, bergurau dengan nenek.

"Nenek kemudian balik ke rumah dia. Tak lama kemudian, nenek telefon saya tanya kawan-kawan saya ada lagi kat rumah ke? Saya jawab, ya masih ada.

ARTIKEL BERKAITAN: Sakan nenek minat K-drama bercuti ke Korea! Dah lawat lokasi shooting, ajak minum kopi pula... cucu suka K-Pop pun 'jealous'

ARTIKEL BERKAITAN: "Tak boleh duduk saja, nanti peluh tak keluar" - Umur 104 tahun, kudrat Tok Pora setanding anak muda... mudah sangat petuanya!

"Nenek ajak kawan-kawan saya datang ke rumah dia pula, siap dah masak karipap panas-panas dan sediakan air kelapa sejuk," ceritanya kepada mStar.

Ujar Eylla, 31, jarak rumahnya dengan kediaman nenek sangat dekat kerana berada dalam kampung yang sama.

Seorang lagi rakan Eylla yang beraya ke rumah nenek.

"Rumah kami cuma selang empat baris. Kalau jalan kaki ambil masa kira-kira lima minit je. Apabila saya beritahu kawan-kawan, mereka pun terkejut dengan pelawaan nenek.

"Nasib baik kawan-kawan saya okay, jadi selepas itu mereka sambung beraya di rumah nenek pula. Bertambah meriah rumah nenek," ujarnya sambil menambah neneknya tinggal bersama kakaknya yang berumur 81 tahun dan bapa saudaranya.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, neneknya yang lebih dikenali sebagai Ijah Cincun adalah seorang yang tegas tetapi peramah, mudah mesra dan kelakar.

Jamaliah Saod atau lebih dikenali sebagai Ijah Cincun.

"Perwatakan nenek yang ceria membuatkan dia selesa dengan kawan-kawan saya. Saya suka melayan nenek selagi dapat menggembirakan dan menghiburkannya," katanya sambil menambah neneknya mempunyai lima anak, 12 cucu dan sembilan cicit.

Jelas Eylla lagi, neneknya yang menerima tempahan untuk membuat karipap panas dan sejuk beku itu juga pernah mengikutnya ke rumah seorang rakannya pada akhir tahun lalu.

"Suatu hari tu, nenek telefon tanya saya buat apa. Saya cakap nak pergi lepak kat rumah kawan di Cyberjaya. Nenek saya beritahu dia nak ikut.

Saya suka melayan nenek selagi dapat menggembirakan dan menghiburkannya.

NUR NABILLAH ABDULLAH

CUCU

"Apabila dah siap-siap nak keluar, bukan nenek je, dengan kakaknya sekali dia bawa. Saya bawa je dan makan-makan di rumah kawan.

"Lepas makan tu, nenek ajak balik sebab dia kata tak elok duduk rumah orang lama-lama. Saya belum puas berborak dengan kawan, orang kata tak sempat panas punggung," ujar suri rumah itu secara berseloroh.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan gelagat rakan-rakan Eylla yang datang beraya di rumah neneknya.

nenek ajak kawan beraya 4

Nenek Eylla (kiri) tinggal bersama kakaknya.

"Kawan-kawan pun menghiburkan, patut nenek suruh datang.

"Tengok perangai masing-masing boleh agak kenapa nenek suruh datang beraya. Rindu dengan keletah kawan-kawan cucunya.

"Nenek tahu geng kakak semua 'masuk air'. itu jemput beraya kat rumah. Meriahlah sedikit rumah nenek.

"Walaupun tak lama, ada kenangan terindah buat nenek," menurut komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain