suria

Hati bekas pekerja ‘dijentik’, kirim RM1,000 kepada bos stesen minyak... Rupanya nak tebus dosa lama - “Dulu dia ambil duit dan barang”

Siti menerima sampul surat misteri berisi wang RM1,000 pada Ahad.

HIDUP bergelumang dosa lampau membuatkan seorang individu nekad untuk menebus kembali kesilapannya.

Insaf dan menyesal dengan apa yang dilakukannya sebelum ini, individu berkenaan akhirnya membayar semula wang yang pernah dicurinya sewaktu bekerja.

Kisah itu diceritakan oleh pemilik stesen minyak Petronas di Pendang, Kedah, Siti Nur Ahmad, 36, selepas dia menerima sampul surat misteri berisi wang RM1,000 pada Ahad.

"Ada orang hantar sampul surat ini ke kaunter. Tidak ditulis nama pengirimnnya. Saya pun tak jangka ia berisi duit. Tapi di dalamnya ada sepucuk surat serta duit RM1,000.

"Dalam suratnya, pengirim menjelaskan dia merupakan bekas pekerja stesen minyak ini. Dia ceritakan kesalahan yang pernah dia buat dan ganti semula semua wang yang pernah diambil.

siti 2

Stesen minyak Petronas Pendang beroperasi sejak 37 tahun lalu.

"Kaedah dia ambil duit tu saya tak dapat nak ceritakan secara lanjut. Tapi sewaktu dia kerja dulu, dia pernah ambil duit dan barang-barang," ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Siti, dia menganggap kejadian itu sebagai lumrah dalam dunia perniagaan dan berharap kisah tersebut menjadi inspirasi kepada orang di luar sana agar bekerja dengan amanah.

"Sejujurnya saya terkejut dengan kiriman sampul itu. Mungkin pelaku rasa bersalah, dulu masa dia buat kesalahan itu dia masih muda, umur lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tak matang lagi.

"Sekarang mungkin dia dah berjaya, dia boleh fikir silap yang pernah dibuat dan dia mahu tebus semula. Saya fikir mungkin dia menyesal dengan tindakannya dulu.

Kita kena ada sifat amanah dan tanggungjawab untuk berjaya pada masa depan. Kena percaya yang rezeki Allah itu luas.

SITI NUR AHMAD

"Iyalah sebab duit ni akan jadi darah daging, akan disoal di akhirat kelak. InsyaAllah saya halalkan kepada staf ini atas apa yang dilakukan dulu," ujarnya lagi.

Menurut Siti, sebagai pemilik stesen minyak itu dia sering berdepan pelbagai ragam pekerja hingga mengajarnya untuk menjadi majikan yang lebih baik.

"Inilah liku-liku yang saya lalui. Saya dah uruskan stesen minyak ini sejak saya menamatkan persekolahan. Semua pengalaman ini berguna untuk saya.

"Saya juga pegang prinsip dalam bisnes bahawa kita tak boleh makan seorang, sebaliknya kena kongsi dengan pekerja. Sebab itu saya sering kongsi reward dengan mereka, antaranya hantar staf buat umrah.

ARTIKEL BERKAITAN: 5 tahun huni stesen minyak terbiar, sayang kucing lebih dari diri sendiri... pemuda terkejut tengok wajah bersih warga emas

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tak perlu kaya nak pergi Makkah, Allah buka rezeki... Netizen tumpang gembira bos Petronas Pendang taja pakcik Yusuf tunai umrah

"Apabila buat macam ni, staf pun akan jadi lebih gembira nak bekerja, maka kita boleh elak perbuatan-perbuatan yang tak amanah," ujarnya lagi.

Pada akhir bicara, Siti turut berpesan kepada orang ramai agar sentiasa berpegang kepada amanah dalam menjalankan tugas masing-masing.

"Kita kena ada sifat amanah dan tanggungjawab untuk berjaya pada masa depan. Kena percaya yang rezeki Allah itu luas. Rezeki yang halal dan berkat ni sangat penting sebab ia akan jadi darah daging," ujarnya lagi.

Untuk rekod, stesen minyak itu dibuka oleh ayah Siti kira-kira 37 tahun lalu sebelum dia mengambil alih operasinya sejak 13 tahun lepas.

553

Siti menghadiahkan pakej umrah buat salah seorang kakitangannya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, video perkongsian Siti mengenai sampul berisi wang di aplikasi TikTok turut tular dan dihujani pelbagai komen netizen.

"Mungkin dia terdesak puan. Dia usaha untuk melunaskan segalanya. Alhamdulillah. Moga dia dan puan dimurahkan rezeki.

"Bagus betul budak ni. Dia bertaubat dan berusaha pulangkan semula duit itu.

"Itu rezeki puan. Bekas staf dijentik hati untuk pulangkan semula hak puan," tulis beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain