suria

Tetap turun misi banjir bersama isteri, Abang Viva adakan kenduri kahwin 31 Disember - “Majlis buat simple je”

Azwan dan isteri ketika menyertai misi banjir di Pantai Timur pada minggu lalu.

SETIAP kali musim tengkujuh, nama Azwan Omar atau Abang Viva pastinya 'diseru' netizen bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir.

Dalam misi di negeri Pantai Timur pada minggu lalu, Azwan tidak berkeseorangan, sebaliknya dia turut ditemani isteri, Evanoza Zakaria.

Bercakap kepada mStar, Evanoza berkata mereka turun padang ke Terenganu dan Kelantan selama enam hari sebelum menamatkan misi bantuan pada 22 Disember lalu.

"Dalam misi kali ini, kami berada di Terengganu selama lima hari. Hari keenam baru kami ke Kelantan. Banjir kali ini memang teruk, tapi kami bersyukur sebab tak banyak berlaku kes kematian.

viva3

Berkahwin pada Oktober lalu, pasangan ini bakal diraikan dalam sebuah majlis pada 31 Disember.

"Ini bukanlah kali pertama saya mengikuti misi banjir. Sebelum ini pun saya pernah terlibat dengan misi-misi lain sebelum berkahwin dengan Azwan.

"Saya dan suami ucap terima kasih kepada netizen yang mendoakan kami. Doa tu penting. Sebab doa itu juga kami diizinkan sihat untuk turun melakukan misi. Terima kasih juga sudi beri dana," ujarnya.

Selain pujian dan doa daripada netizen, Evanoza berkata suaminya turut dikecam segelintir individu apabila dituduh tidak lagi rajin membantu mangsa banjir.

"Ketika kami buat siaran langsung (live) TikTok, ada orang cakap Azwan dan berubah, dah tak turun misi banjir sekarang. Sebenarnya, dia baru dua hari balik dari Terengganu pada waktu itu.

Kami tak pernah plan, cuma tak ada rezeki lagi. Mohon doa supaya kami dipercepat rezeki cahaya mata.

EVANOZA ZAKARIA

"Dia dah turun misi tapi masa tu banjir tak besar. Dia balik semula ke Melaka. Dua ke tiga hari kemudian, dapat tahu Terengganu dilanda banjir besar. Sekali lagi kami ke Terengganu.

"Kalau nak ambil apa orang cakap, kita akan rasa stres. Itu bukan tanggungjawab kami, tapi kami buat sebab minat. Dulu Azwan jarang post misi bantuan di media sosial.

"Tapi sekarang dia selalu post di Facebook. Sebab dia minta dana daripada public, jadi dia kena tunjuk hasil kerja. Tapi Alhamdulillah, saya baca tak semua hentam. Biasalah hidup ini, ada orang suka, ada orang tak suka," ujarnya lagi.

Di sebalik kesibukan menjalani misi banjir, Evanoza dan Azwan juga bakal diraikan dalam majlis resepsi yang akan diadakan pada 31 Disember ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang Viva dah kahwin! Isteri dedah perkenalan bermula dengan ‘jadi orang tengah’, hubungan on-off sebelum dilamar ketika live

ARTIKEL BERKAITAN: Kena kick dari grup WhatsApp, Abang Viva tetap akui ‘mak ayah nombor 1’! Mohon diberi ruang selesai isu kahwin secara tertutup dengan keluarga

Menurut Evanoza, dia dan suami hanya menjalankan upacara akad nikah pada 14 Oktober lalu dan mahu meraikan keluarga serta sahabat dalam majlis kali ini.

"Hari tu akad nikah je. Kali ini kami buat majlis sambut menantu (bertandang) di rumah Azwan. Rancangan asal kami nak buat tahun depan, nak kumpul duit untuk buat majlis yang sempurna.

"Kami juga sudah jangka kami akan sibuk dengan misi banjir pada Disember. Tapi ayah mentua minta jangan tunggu lama-lama. Jadi kami pilih untuk buat majlis pada 31 Disember.

"Ketika misi banjir minggu lepas, kami target nak ikuti misi sampai 25 Disember saja. Syukur Alhamdulillah banjir surut lebih awal, 22 Disember kami dah habis misi.

viva1

Usaha murni Azwan membantu mangsa banjir menerima pujian netizen.

"Persiapan juga dah hampir siap. Cuma tinggal sikit-sikit lagi nak kena uruskan. Majlis kami buat simple untuk saudara mara, jiran dan kawan-kawan saja, sebab kami tak dapat sponsor," ujar Evanoza.

Mengenai cahaya mata, Evanoza berkata mereka tidak merancang sebaliknya menyerahkannya pada rezeki dan ketentuan Tuhan.

"Kami tak pernah plan, cuma belum rezeki lagi. Mohon doa supaya kami dipercepatkan rezeki cahaya mata," ujarnya ringkas.

Untuk rekod, Azwan dan Evanoza mendirikan rumah tangga pada 14 Okrober lalu di Pejabat Agama Islam Melaka.

Dalam majlis itu, Azwan yang menyerahkan mas kahwin sebanyak RM150, sebentuk cincin serta wang hantaran bernilai RM8,888 sah bergelar suami kepada Evanoza dengan sekali lafaz.

Kisah perkahwinan itu turut menjadi perhatian apabila Azwan didakwa berkahwin tanpa restu dan pengetahuan keluarga, namun kemelut itu diselesaikan secara baik antara mereka.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain