suria

[V] Suri rumah tak tidur malam musim Piala Dunia, tapi bukan tengok bola! Rupanya asyik buat mekap tema bendera

Shera menghasilkan gaya solekan inspirasi bendera Qatar dan Equador.

DEMAM bola sepak sempena Piala Dunia 2022 turut melanda Malaysia sehingga memberi inspirasi kepada gaya solekan seorang content creator tempatan.

Nur Shahira Azlan, 27, menghasilkan solekan wajah yang diinspirasikan daripada bendera pasukan bertanding iaitu Qatar dan Equador sehingga dia tular di media sosial.

Ketika dihubungi mStar, dia yang senang disapa Shera mendedahkan proses solekan itu dibuat pada malam pembukaan Piala Dunia 2022 yang diadakan di Qatar, 20 November lalu.

"Dua gaya solekan itu dibuat berdasarkan bendera Qatar dan Eduador. Dah lama saya simpan idea, cuma sebelum ini lagu rasmi Piala Dunia belum dilancarkan.

"Nak guna lagu Piala Dunia yang lama macam tak ada feel, nak guna lagu lain pun rasa tak kena. Jadi kebetulan saya tonton acara pembukaan, saya tengok lagu Piala Dunia 2022 yang dinyanyikan Jungkook (BTS) dapat sambutan ramai.

"Selepas tamat acara pembukaan, terus saya buat mekap sehingga pukul 4 pagi. Saya ambil masa dalam empat jam," ujar Shera yang kini menetap di Pahang.

Awal-awal dulu solekan tak menjadi, tapi saya tak pernah putus asa.

NUR SHAHIRA AZLAN

Tambah Shera yang berasal dari Kelantan, dia juga tidak menyangka video solekan berkenaan akan meraih lebih sejuta tontonan dalam tempoh yang singkat.

Dia juga merancang untuk memuat naik video solekan inspirasi bendera Argentina yang juga pasukan kegemarannya, tidak lama lagi.

Bercerita mengenai dirinya, Shera yang juga seorang suri rumah mula berjinak-jinak dalam seni solekan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sekitar dua tahun lalu.

Hanya belajar sendiri, dia kemudiannya perlahan-lahan membina nama sehingga meraih 2.2 juta pengikut di laman TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Minat mekap sejak kecil, pemuda ini buat ibunya terkejut selepas tunjuk hasil solekan pertama - “Tak berani minta ma ajar, saya kan lelaki”

ARTIKEL BERKAITAN: Idam jadi MUA terkenal, pemuda 'dagu panjang' tak hirau digelar alien... nafi bedah wajah - “Paling terasa bila orang pertikai lelaki pakai mekap”

Lebih membanggakan, Shera juga pernah muncul dalam majalah antarabangsa Variety selepas dia dipilih mewakili Malaysia sebagai innovator, bersama 50 TikTokers lain dari seluruh dunia.

"Saya belajar mekap ketika PKP tahun 2020. Tapi awalnya saya hanya aktif di Instagram dan YouTube. Pada tahun 2021 baru saya sertai TikTok dan hasilkan lebih banyak video make up art.

"Saya belajar sendiri, berpandukan rujukan di laman Pinterest. Tengok contoh gambar dan saya tiru sampai jadi. Awal-awal dulu solekan tak menjadi, tapi saya tak pernah putus asa.

shera 3

Antara gaya solekan yang pernah dihasilkan Shera.

"Jadi tak jadi itu belakang kira, saya tetap akan kongsi video kerana saya content creator. Walaupun buat sekadar suka-suka kerana bosan masa PKP, saya tak sangka ramai yang akan tengok video saya.

"Terima kasih kepada semua yang selalu sokong saya. Tanpa anda semua, saya memang tak akan berada di tahap sekarang. Terima kasih dan teruskan menyokong saya," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Shera berkata dia juga teruja apabila video solekannya tular ke peringkat global, membolehkan dia mengumpul pengikut dari Indonesia, Filipina dan Arab Saudi.

shera 2

Shera turut diangkat sebagai innovator bersama 50 TikTokers dari seluruh dunia.

Paling tidak boleh dilupakan, Shera berkata dia juga pernah 'diserang' netizen negara Arab selepas menghasilkan solekan inspirasi Rosé (Blackpink), baru-baru ini.

"Di Malaysia saya tak terima komen kecaman. Yang negatif tu ada la sikit, tapi yang positif lagi banyak. Cuma hari tu saya dikecam orang luar Malaysia.

"Saya buat mekap inspired Rose Blackpink. Bukan nak tiru muka dia, saya cuma mekap saja. Tapi ramai orang dari negara Arab kecam saya. Saya tak ambil kisah sebab bukan kena kecam di negara sendiri. Saya tak rasa sedih pun," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain