suria

“Saya menangis baca” - Buku luahan hati bapa ditulis 13 tahun lalu buka peluang anak tebus dosa zaman muda

Syah berkongsi mengenai naskhah yang ditulis bapanya mengenai anak-anak.

SIAPA sangka di sebalik wajah yang tenang seorang bapa, banyak yang terpendam dalam hatinya.

Paling menyentuh emosi apabila apa yang terpendam itu diluahkan dalam bentuk tulisan dan baru kini ditemui oleh anaknya.

"Harta Bapa, Harta Anak - Satu nukilan rasa, rentetan derita," demikian tajuk naskhah yang mengandungi 14 muka surat coretan hati si bapa, yang dikongsi anaknya di laman sosial.

luahan abah 2

Bapa Syah menghidap penyakit tiga serangkai.

Berkongsi cerita kepada mStar, Syahid Abdullah mengakui terkejut apabila menjumpai naskhah nukilan bapanya ketika mengemas rumah, baru-baru ini.

Menurut Syahid, dia kini tinggal berdua bersama bapa berusia 74 tahun yang uzur dan menghidap penyakit tiga serangkai kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

"Masa tengah kemas-kemas rumah, saya terjumpa satu fail yang mengandungi naskhah yang ditulis abah pada 2009, kira-kira 13 tahun lalu.

"Saya tahu abah suka menulis di masa lapang, ketika masih sihat. Tapi saya tidak menyangka abah menulis mengenai anak-anak dalam sebuah naskah," katanya ketika dihubungi mStar.

luahan abah 3

Bapa Syah kini merupakan pemegang kad OKU.

Pemuda berusia 38 tahun itu memberitahu ketika luahan itu ditulis, dia bekerja di Kuala Lumpur sebelum membuat keputusan untuk berhenti kerja sebagai eksekutif khidmat pelanggan untuk menjaga bapanya di Ipoh, Perak pada 2019.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda korbankan kerjaya di KL, sanggup balik kampung 'kerja' bertahun tanpa cuti jaga bapa ada penyakit 3 serangkai, bermacam sakit lain

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini korbankan kerja dan impian demi jaga ibu sakit di kampung, tapi bapa pergi dulu selepas buat 3 permintaan - "Terakhir ayah minta tidur sebelah mak"

Lebih mesra disapa Syah, katanya, dia kini menghabiskan masa dengan menjaga bapanya di rumah, sementara ibunya pula dijaga oleh abang.

"Abah adalah bekas guru dan bersara pada 2004. Sejak itu, abah banyak menghabiskan masa dengan menulis dan masa mula-mula baca naskhah abah tentang anak-anak, saya menangis.

"Sebagai anak, saya mengakui pernah buat salah. Siapa saja yang tidak pernah melakukan kesilapan terutama pada ibu bapa," ujar anak bongsu daripada tujuh beradik itu.

Menurutnya lagi, dia mengakui zaman mudanya yang bergaul bebas bersama rakan-rakan membuatkan dirinya tanpa sedar telah mengguriskan hati bapanya.

luahan abah 5

Syah menumpukan sepenuh perhatian menjaga bapanya.

Mengulas lanjut, bapanya kini mengalami dimensia apabila disahkan menghidap penyakit Alzheimer menyebabkan ingatannya terjejas.

"Doktor juga beritahu keadaan kesihatan abah sama ada stabil atau merosot. Saya perlu bersedia, apa jua boleh berlaku dan saya reda.

Jagalah ibu bapa kita selagi mereka masih ada. Jangan tunggu dah tak ada baru nak menyesal.

SYAHID ABDULLAH

"Syukur Alhamdulillah, saya masih diberi peluang untuk menebus kesilapan lalu. Tuhan beri kita peluang, kita cuba memperbetulkannya dengan sebaik mungkin.

"Biarlah apa orang nak kata. Ini antara saya dengan Tuhan. Fokus saya kini menjaga abah, bawa dia pergi pemeriksaan kesihatan dan fisioterapi, jaga makan minum dan tidurnya, cuci berak dan kencing abah serta beri makan ubat... emosi abah juga kena jaga," ujarnya sambil menambah bapanya merupakan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU).

luahan abah 6

Syah (kanan) bersama abah.

Justeru, Syah yang sebelum ini merupakan ejen hartanah sambilan memutuskan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada bapanya.

"Perkongsian mengenai naskhah luahan abah bukan untuk mengaibkan sesiapa. Bagi saya, sesuatu yang berharga dan jujurnya saya menangis sewaktu membacanya.

"Saya sekadar mahu ia dijadikan iktibar kepada ibu bapa dan anak-anak di luar sana. Jagalah ibu bapa kita selagi mereka masih ada. Jangan tunggu dah tak ada baru nak menyesal.

"Dan saya percaya rezeki Allah itu luas. Yang penting buat masa ini saya nak jaga abah," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain