suria

[V] Hujan lebat, staf sebak lihat pakcik masuk 7-Eleven berkaki ayam sebab takut lantai kotor - “Dah tegah, dia nak tanggal juga”

Kisah seorang warga emas yang dikongsikan oleh Nur Alisysia membuatkan ramai tersentuh.

ADA pepatah mengatakan 'yang tua dihormati, yang muda disayangi'.

Bagaimanapun, nilai-nilai murni tersebut ada kalanya seperti dilupakan lebih-lebih lagi dek segelintir generasi muda masa kini yang serba urban dan kurang diterapkan dengan budaya masyarakat timur.

Namun perkongsian seorang wanita mengenai kisahnya dengan seorang warga emas baru-baru ini benar-benar membuka mata ramai mengenai sikap empati dan adab sopan dalam kehidupan bermasyarakat.

Menurut wanita tersebut yang juga pekerja kedai serbaneka 7 Eleven di Besut, Terengganu, Nur Alisysia Muhammad Khairul Azwardi, premisnya dikunjungi oleh seorang warga emas ketika hujan lebat sedang mencurah-curah, petang Isnin lalu.

Namun, tindakan spontan warga emas tersebut membuatkan dia terkejut kerana situasi seumpamanya tidak pernah berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas kelaparan di TBS tarik perhatian, datang dari Kedah nak cari kerja... Akhirnya jadi gelandangan, netizen ‘petik’ nama Ebit Lew

ARTIKEL BERKAITAN: Beri selipar yang dipakai kepada warga emas berkaki ayam tepi jalan... Pemuda ini dapat ‘tabik’ hormat netizen

"Dekat Terengganu sekarang dah masuk musim tengkujuh, boleh dikatakan hujan turun setiap hati. hari itu, hujan baru turun lebat-selebatnya. Pakcik tu datang naik motor. Memang nampak bajunya hampir kuyup.

"Dia buka pintu dan terus tanggal selipar. Saya cakap 'tak pa pakcik masuk dengan selipar je, lantai kotor ni'. Walaupun saya dah tegah, dia tetap nak tanggal juga," ceritanya mengimbas kembali kisah berkenaan.

7e

Nur Alisysia sudah empat tahun bekerja di kedai serbaneka 7 Eleven di Besut.

Namun, jawapan yang diberikan oleh lelaki tua yang dalam lingkungan usia 70an itu cukup membuatkan hatinya benar-benar tersentuh dan sebak.

"Dia jawab sambil senyum 'tak apa selipar pakcik lagi kotor, ni nanti awak kena mop dua tiga kali pula. Ini pun pakcik dah masuk dengan basah-basah'.

"Saya jawab 'takpa pak cik, memang kerja saya pun'. Dia tetap senyum cakap 'takpa nak'.

sha

Nur Alisysia bersama ibunya.

"Memang automatik tiba-tiba sebak. Pakcik ni selalu sangat datang 7 Eleven, dia suka tegur saya, sambil beli sambil sembang. Tanya makan dah ke belum.

"Selalu dia beli top-up (tambah nilai), bayar bil. Dan dia selalu minta tolong saya yang isikan tambah nilai dia. Mungkin dia rasa macam saya anak atau cucu dia. Saya juga anggap dia seperti datuk sendiri, kerana sudah kehilangan datuk sejak kecil," ujar wanita berusia 21 tahun yang berasal dari Besut ini lagi.

Perkongsian video di aplikasi TikTok itu sehingga kini meraih lebih daripada 108,000 jumlah tontonan.

Dia selalu minta tolong saya yang isikan tambah nilai dia. Mungkin dia rasa macam saya anak atau cucu dia.

NUR ALISYSIA

Nur Alisysia berkata dia sama sekali tidak menyangka video tersebut mengundang perhatian ramai malah meninggalkan kesan di hati netizen.

"Kita sendiri tak nak ibu bapa atau datuk nenek kita dilayan buruk. Belajar hormat orang tua nanti ayah emak kita pun akan duduk situasi yang sama," kongsinya lagi.

Menyusuri ruangan komen, ramai yang turut terharu dengan perkongsian kisah tersebut, malah memuji kebaikan hati pekerja wanita berkenaan.

komen

Rata-rata netizen sebak dengan perkongsian Nur Alisysia.

Tidak kurang juga netizen turut mendoakan kesejahteraan warga emas tersebut.

"Terima kasih kerana ambil berat pasal pakcik tu.

"Sedihnya... terbayang ayah kita.

"Semoga pakcik dipanjangkan umur dan sihat tubuh badan," demikian antara komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain