suria

[VIDEO] Gempar ular sawa muncul depan muka pukul 12 tengah malam... Gadis syak ‘penghuni’ Tasik Kenyir ikut dalam kereta

Seekor ular sawa tiba-tiba muncul menjalar di cermin hadapan kereta bapa saudara Dahlia.

PERNAHKAH anda bayangkan, sepanjang hampir tiga jam perjalanan, tanpa sedar ada penumpang tidak diundang turut sama dalam kenderaan!

Demikianlah situasi cemas yang berlaku kepada gadis ini apabila kereta yang dinaiki bersama saudaranya turut membawa seekor ular sawa.

Berdasarkan video yang dikongsikan di media sosial, seekor ular secara tiba-tiba muncul dan menjalar di cermin hadapan kereta ketika kenderaan mereka sedang bergerak, membuatkan netizen turut sama 'kecut perut'.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nur Aina Dahlia Mohd Luqman Hakim berkata, kehadiran reptilia berkenaan disedari oleh bapa saudaranya yang ketika itu sedang memandu.

"Kejadian ini berlaku bulan lepas ketika kami pulang daripada bercuti di Tasik Kenyir, Terengganu... namun saya baru sahaja kongsi di laman TikTok.

"Sepanjang percutian selama dua hari, kami sewa houseboat dan parkir kereta dekat kawasan di tepi tasik.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita tergamam tengok darah menitis dari bahagian enjin, rupa-rupanya ada ‘makhluk tumpang’! - “Dalam bilik boleh terhidu bau bangkai”

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas kemalangan, wanita dipatuk King Cobra pula! Mata jadi kabur, suara sengau... suami datang hospital bawa bangkai ular

"Apabila pulang, saya naik dengan ibu saudara dan seorang sepupu, dan bapa saudara yang memandu. Apabila menghampiri Tol Gambang sekitar pukul 12 tengah malam, tiba-tiba seekor ular muncul dekat cermin depan.

"Bapa saudara cuba 'halau' dengan menggerakkan wiper, tapi ular tersebut tak jatuh pun... masih melekat. Memang kami semua cuak dan berdebar-debar," ujar gadis berusia 18 tahun ini.

ular 2

Aina dan keluarganya menyewa 'houseboat' di Tasik Kenyir.

Senang disapa sebagai Aina, gadis ini berkata memandangkan kenderaan mereka sedang bergerak perlahan kerana menghampiri pondok tol, bapa saudaranya mengambil keputusan untuk memberhentikan kereta bagi mendapatkan pertolongan.

"Kami sedang beratur nak masuk lorong tol dah ketika ular tu muncul, mustahil nak ke tepi sebab bahaya juga tukar lorong. Apabila sampai giliran membayar, bapa saudara terus beritahu staf yang berada dalam pondok tol.

ular 3

Sebahagian daripada keluarga besar Aina bergambar berlatarbelakangkan Tasik Kenyir.

"Staf perempuan tu pun terkejut dan terus panggil staf lain untuk bantu. Dua staf lelaki datang dan bantu halau ular tersebut. Kereta lain di belakang kami pun tahu ada kecemasan, mereka tukar lorong lain.

"Hampir 10 minit juga dekat lorong tu sebelum ular tersebut jatuh atas jalan raya dan menyusur ke tepi jalan," ujar gadis ini lagi.

Aina berkata, reptilia yang dipercayai ular sawa itu berkemungkinan berasal dari Tasik Kenyir dan 'menumpang' kereta bapa saudaranya untuk mencari tempat yang hangat.

Hampir 10 minit juga dekat lorong tu sebelum ular tersebut jatuh atas jalan raya dan menyusur ke tepi jalan.

NUR AINA DAHLIA MOHD LUQMAN HAKIM

"Selepas ular itu berjaya dihalau, barulah lega nak tidur lena dan teruskan perjalanan ke rumah kami di Bandar Pusat Jengka.

"Cuma bapa saudara saya dia macam sedikit fobia sebab tiba-tiba ular tu muncul depan mata dia.

"Kami nak ucapkan terima kasih kepada staf Tol Gambang yang membantu malam itu," ujarnya yang kini berniaga pakaian secara dalam talian.

Tidak menyangka perkongsiannya meraih lebih 500,000 tontonan di aplikasi TikTok, Aina berkata dia sekadar mahu berkongsi cerita dengan pengikutnya.

komen

Antara komen netizen yang turut 'kecut perut' melihat kelibat ular berkenaan di dalam video yang dikongsi Aina.

"Dalam masa yang sama, video itu juga bertujuan memberi peringatan kepada orang ramai agar sentiasa memeriksa keadaan kenderaan masing-masing bagi mengelakkan kehadiran 'makhluk asing'.

"Ramai juga share pengalaman alami kejadian sama. Ada yang cakap, kalau jadi kepada mereka, mesti dah berhenti tengah jalan.

"Apapun, kalau berlaku hal yang sama, perkara pertama usah terlalu panik. Berhenti di lokasi selamat dan cuba dapatkan bantuan," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain